Keselamatan, pemuliharaan alam sekitar gagal

Laporan Sinar Harian mengenai penemuan 50 tan peluru dan kelongsong ditemui di kilang e-waste haram di Telok Panglima Garang.
Laporan Sinar Harian mengenai penemuan 50 tan peluru dan kelongsong ditemui di kilang e-waste haram di Telok Panglima Garang.
A
A
A

SHAH ALAM - Penemuan 50 tan peluru dan kelongsong di sebuah kilang pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram di Telok Panglima Garang menimbulkan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan negara dan pemuliharaan alam sekitar.

Bekas Pengarah Air dan Marin, Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya, Jalaluddin Ismail menyifatkan kejadian itu sebagai satu ancaman besar kepada keselamatan negara dan menunjukkan kelemahan penguatkuasaan di pintu masuk.

“Bagaimana e-waste negara luar boleh diseludup masuk dengan mudah?

“Jika peluru boleh diseludup, tidak mustahil senjata pemusnah besar-besaran, sisa biologi atau kimia turut boleh masuk tanpa dikesan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga bekas Pengarah JAS Selangor menyuarakan kebimbangan bahawa Malaysia kini menjadi destinasi utama bagi syarikat asing, khususnya dari China, untuk membuang sisa industri berbahaya.

“Malaysia kini dianggap sebagai tapak pelupusan sisa dunia kerana kelonggaran undang- undang dan tindakan penguatkuasaan yang lemah. Jika perkara ini berterusan, rakyat akan berdepan risiko penyakit seperti kanser, alahan, masalah autoimun serta gangguan sistem pernafasan.

“Adakah Malaysia mahu menjadi pusat pelaburan aktiviti pengubahan wang haram melalui industri e-waste?

“Kilang-kilang haram ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah menjadi lubuk jenayah kewangan yang sukar dibendung,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini telah menjalankan siasatan terhadap pegawai JAS yang didakwa cuba melepaskan kontena e-waste di Pelabuhan Klang tanpa justifikasi wajar.

“EAIC telah memperakukan tindakan tatatertib terhadap pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam kes ini, namun sehingga kini ia masih senyap. Adakah kes ini sudah ditutup tanpa tindakan?

“Netizen dan rakyat Malaysia perlu lebih peka terhadap isu ini. Tanpa tekanan daripada masyarakat, pihak berkuasa tidak akan bertindak dengan tegas. Ini bukan isu kecil kerana ia melibatkan kesihatan dan keselamatan generasi akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!