Ambil tindakan tegas, bukan sekadar beri amaran - Pas Selangor

SHAH ALAM - Kerajaan negeri serta pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih tegas dan bukan sekadar memberi amaran terhadap kilang tanpa kebenaran (KTK) susulan penemuan 50 tan peluru di salah sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) haram di Selangor.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad berkata, sekiranya perkara itu tidak dikawal dengan ketat, dibimbangi kilang terbabit akan terus beroperasi sehingga memperjudi keselamatan rakyat.
"Nyawa penduduk terancam, alam sekitar tercemar dan keselamatan negeri dipertaruhkan. Penemuan 50 tan peluru oleh kilang haram di Selangor membuktikan betapa seriusnya ancaman yang dibawa oleh operasi kilang tanpa lesen.
"Tahniah diucapkan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang berjaya membongkar kegiatan ini.
"Namun, sampai bila episod kilang haram di Selangor akan terus berlaku? Setiap tahun kita dengar isu kilang tanpa lesen yang mencemarkan sungai, membahayakan penduduk dan kini menyimpan bahan yang berpotensi mengancam nyawa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Pada Sabtu lalu, serbuan ke atas sebuah kilang memproses sisa e-waste di Telok Panglima Garang itu dijalankan PGA Briged Tengah dengan dibantu PGU serta JAS berjaya membongkar penemuan kira-kira 50 tan peluru termasuk kelongsong.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, Op Hazard mengenal pasti kilang tersebut merupakan hasil risikan pihaknya.
Katanya, selain barang e-waste, turut ditemui 50 beg peluru termasuk anak peluru serta kelongsong di mana setiap satu dianggar seberat satu tan.
Mengulas lanjut, Zurk turut mempersoalkan sekiranya undang-undang di negara ini terlalu longgar atau terdapat pihak yang 'pejam mata' terhadap aktiviti tersebut.
"Bayangkan, setakat November 2023, terdapat lebih 7,200 KTK dikesan beroperasi di seluruh Selangor dan hanya tujuh peratus yang berjaya diputihkan.
"Isu kilang haram di Selangor ini sememangnya memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi penguatkuasaan dan masyarakat demi masa depan Selangor yang lebih selamat.
"Tetapi, jika undang-undang dan penguatkuasaan longgar, maka tidak banyak yang dapat dibuat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!