Bazar Ramadan Stadium Shah Alam alami transformasi di bawah DEFM

SHAH ALAM – Bazar Ramadan Stadium Shah Alam tahun ini tampil dengan penambahbaikan serta susun atur lebih sistematik bagi menjamin keselesaan peniaga dan pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM), Rusman Md Lizah berkata, pihaknya melakukan penambahbaikan setiap tahun dan antara perubahan ketara kali ini ialah penyediaan dua laluan keluar masuk bagi melancarkan pergerakan orang ramai.

Menurutnya, tahun ini merupakan tahun kesembilan DEFM diberi kepercayaan menguruskan bazar berkenaan.
“Selain dua pintu masuk, susun atur tapak dan ruang parkir turut diperkemas bagi memastikan aliran pengunjung lebih teratur.
“Penyusunan yang lebih baik ini bukan sahaja memudahkan pengunjung, malah membantu merancakkan ekonomi peniaga di bazar Ramadan,” katanya ketika ditemui di tapak bazar, di sini, pada Rabu.
Rusman berkata, walaupun kos pengurusan meningkat setiap tahun termasuk penyediaan anggota RELA, khemah dan pengurusan sisa pepejal, kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga masih kekal kompetitif.
Katanya, setiap tahun, permohonan tapak bagi bazar Ramadan berkenaan mencecah tiga hingga empat kali ganda daripada jumlah yang disediakan.
“Sebanyak 210 tapak disediakan membabitkan 192 peniaga. Dalam tempoh seminggu penganjuran, jumlah pengunjung memghampiri 40,000 orang dengan kehadiran tertinggi direkodkan pada Sabtu lalu iaitu kira-kira 10,000 pengunjung,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rusman merakamkan penghargaan kepada penaja utama tahun ini, RASAKU yang banyak membantu dari segi penambahbaikan dan pembaharuan fasiliti.
“Antaranya penyediaan direktori bagi memudahkan pengunjung mengenal pasti lokasi gerai yang ingin dituju. Kami menghargai kerjasama ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan LINACO, Joe Ling berkata, kerjasama antara RASAKU dan DEFM merupakan inisiatif yang sentiasa dinantikan pihaknya.

“Ibu pejabat kami terletak di Shah Alam, jadi kami sentiasa mencari peluang untuk berkolaborasi dengan komuniti setempat. Apabila DEFM dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menghubungi kami, kami terus bersetuju.
“Kami juga baru melancarkan produk buatan Malaysia santan terbaharu, RASAKU LAGI yang lebih beraroma dan enak. Kerjasama ini memberi peluang kepada peniaga mendapatkan produk berkualiti pada harga lebih berbaloi,” katanya.
Menurutnya, selain harga lebih berpatutan, peniaga boleh mendapatkan bekalan seperti santan dan air kelapa dengan lebih mudah menerusi reruai RASAKU di tapak bazar.
Tambah beliau, pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama lanjut selepas ini, khususnya dalam program atau acara berkaitan makanan yang selari dengan jenama berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
