Kilang e-waste haram diserbu, rampasan bernilai lebih RM401 juta

PEKAN - Dua lelaki ditahan dalam serbuan Op Hazard di sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) haram di kawasan Orang Asli, Kampung Padang di Mukim Bebar di sini pada Sabtu.
Berdasarkan kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang pada Ahad, serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu dilaksanakan dengan kerjasama Unit Risikan Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA); Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) telah merampas pelbagai peralatan dan bahan sisa bernilai lebih RM401 juta.

Menurutnya, premis tersebut yang beroperasi di sempadan ladang kelapa sawit tersebut disyaki telah menjalankan pemprosesan buangan terjadual sisa terbabit melalui pelbagai kaedah pengasingan, pembakaran dan peleburan.
"Seorang pekerja warga asing dan seorang warga tempatan telah ditahan bagi siasatan lanjut.
"Sebanyak 600 unit jumbo beg mengandungi sisa elektronik dan 2072 unit ingot berbentuk jongkong telah disita," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, tindakan penahanan operasi kelengkapan turut dikenakan ke atas premis bagi mencegah premis daripada terus beroperasi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun dan denda maksimum sehingga RM10 juta jika sabit kesalahan.
"Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS dihttp://eaduan.doe.gov.my," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

