Guna AI tingkat skor Indeks Persepsi Rasuah

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) terutama data raya bagi mengurangkan risiko birokrasi dan meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk membanteras jenayah rasuah.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 dengan skor 50 mata membuktikan banyak perkara perlu dilakukan untuk menambah dan memperbaiki kedudukan tersebut.
“Kita perlu melihat dari aspek lebih proaktif. Kerajaan Madani perlu melipatgandakan lagi penekanan terhadap tatakelola yang baik dan pembaharuan institusi serta usaha reformasi institusi.
“Hanya dengan keberanian bertindak, kerajaan mampu melakukan pembaharuan institusi untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti serta mengelakkan campur tangan politik dalam badan kehakiman termasuk penguatkuasaan undang-undang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 dalam CPI 2024 dengan skor 50 mata, tidak berubah berbanding tahun lalu menurut laporan Transparency International Malaysia (TI-M) yang dikeluarkan pada Selasa.
Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 84, dan berada di tangga ketiga daripada 180 negara.
Dalam pada itu, Zairudin turut berpendapat, CPI merupakan kaedah terbaik kerana fungsinya dipercayai menambah atau membandingkan tahap rasuah relatif di seluruh negara dalam konteks memahami persepsi golongan yang disasarkan.
“Sepatutnya, kita tidak boleh mempertikaikan berkenaan penarafan CPI, sebaliknya bertindak balas secara positif dengan menggiatkan lagi ikhtiar melawan rasuah dan keseriusan kerajaan untuk memartabatkan tatakelola serta tadbir urus di sesebuah negara, khususnya di Malaysia.
“CPI menjadi tinjauan yang dipandang tinggi dan berpengaruh terhadap tadbir urus yang baik serta penanda utama dalam usaha antarabangsa untuk memerangi rasuah.
“Ia juga membantu memberi isyarat kepada banyak perkara dalam negara dan setiap satunya berkait rapat dengan masalah rasuah yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa seperti SPRM,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun mungkin terdapat suara negatif terhadap fungsi CPI, tetapi beliau percaya banyak pihak mengalu-alukan laporannya kerana ia boleh dijadikan iktibar dan panduan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia sekali gus berusaha membanteras rasuah.
Tambah beliau, Malaysia boleh menjadi antara negara terbaik dalam CPI dengan memberikan pendidikan dan pendedahan bagi menambah pengetahuan rakyat mengenai integriti, tadbir urus serta maklumat anti-rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
