Pemisahan kuasa AG-Pendakwa Raya hapus tradisi konflik kepentingan

Nurhayati bercakap pada Sidang Media Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat? di Studio F, Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
Nurhayati bercakap pada Sidang Media Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat? di Studio F, Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan menghapuskan tradisi konflik kepentingan yang sudah lama berakar di negara ini yang impaknya akan dirasai sendiri rakyat termasuk dari segi pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan peningkatan kemasukan pelaburan asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin menegaskan, ia kerana pengasingan kuasa itu akan memastikan institusi pendakwaan berkhidmat kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem keadilan serta tidak melibatkan sebarang kepentingan politik tertentu.

“Ini kerana penggabungan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya ketika ini mewujudkan risiko yang jelas kepada kebebasan sistem pendakwaan dari segi campur tangan politik, konflik kepentingan dan ada persepsi terhadap pendakwaan terpilih.

“Jadi kita cadangkan beri kuasa kepada Pendakwa Raya secara autonomi tetapi ia datang dengan kewajipan dan garis panduan seperti Akta Pemboleh (Enabling Act) yang menyatakan kod etika bagaimana ketelusan dan sebagainya yang akan membentuk keseimbangan antara kebebasan Pendakwa Raya dan dengan tanggungjawabnya kepada sistem keadilan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat? di Studio F, Karangkraf di sini pada Khamis.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Pushpan Murugiah dan Pakar Perlembagaan, Maha Balakrishnan.

Hadir sama, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz; Pengarah Eksekutif Bersih, Mohammad Asraf Sharafi dan Konvenor Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Ngeow Chow Ying.

Nurhayati (kiri) bersama wakil masyarakat sivil yang lain dan pakar perundangan menunjukkan kenyataan media mengenai cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Karangkraf pada Khamis.
Nurhayati (kiri) bersama wakil masyarakat sivil yang lain dan pakar perundangan menunjukkan kenyataan media mengenai cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Karangkraf pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, masyarakat sivil dan pakar-pakar perundangan mahu memastikan Pendakwa Raya melaksanakan tanggungjawab dengan bebas walau masih tertakluk kepada Parlimen dari sudut dasar, tadbir urus dan bukan lagi dipengaruhi campur tanya pihak tertentu dalam membuat keputusan.

“Kita nak satu model akauntabiliti yang matang dalam sistem demokrasi, jadi yang kita ingin diambil kira juga ialah dari segi tempoh perkhidmatan tetap bagi jawatan Pendakwa Raya Negara ini iaitu selama tujuh tahun tanpa pilihan untuk dilanjutkan.

“Yang diperlukan juga ialah mekanisme penyingkiran Pendakwa Raya melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang boleh melantik ahli-ahli tribunal bagi kelulusan Yang di-Pertuan Agong supaya kita tahu Pendakwa Raya Negara ini terlindung daripada sebarang bentuk ugutan kuasa dan kita pun boleh pastikan integriti terpelihara,” ujarnya.

Menurutnya, cadangan yang dikemukakan masyarakat sivil dan pakar perundangan dalam reformasi pengasingan kuasa tersebut untuk memastikan tapak ‘pembinaan’ kepada reformasi berkenaan kukuh.

“Hari ini kita tengok usaha ini sedang dilaksanakan pihak kerajaan dan kita yakin boleh lihat satu hasil yang begitu baik kalau diambil dan diteliti sepenuhnya cadangan-cadangan yang dikemukakan masyarakat sivil dan pakar perundangan ini.

“Impak daripada reformasi ini rakyat akan merasai ekonomi akan lebih baik sebab tiada pendakwaan terpilih yang (yang memberi keyakinan kepada pentadbiran negara) selain pelabur asing juga melihat bahawa Malaysia benar-benar melaksanakan sistem demokrasi berparlimen yang sekali gus dapat memberi manfaat kepada pelaburan negara,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya menghapuskan konflik kepentingan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta pelaburan asing
  • Pengasingan kuasa memastikan institusi pendakwaan bebas daripada pengaruh politik
  • Cadangan untuk memberi kuasa autonomi kepada Pendakwa Raya dengan kewajipan mengikuti kod etika dan garis panduan
  • Masyarakat sivil dan pakar perundangan menyeru agar Pendakwa Raya bebas tetapi masih bertanggungjawab kepada Parlimen
  • Reformasi ini diharapkan memperkuatkan demokrasi dan meningkatkan ekonomi serta keyakinan pengaturan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!