Bersih gesa semangat asal Perlembagaan dikembalikan bagi lantikan Pendakwa Raya Negara

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa agar semangat asal Perlembagaan Persekutuan dikembalikan dengan memastikan Perdana Menteri tidak terlibat dalam lantikan Pendakwa Raya Negara yang baharu.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pelantikan Pendakwa Raya Negara harus dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan (PrSC) yang dicadang untuk ditubuhkan, tanpa sebarang campur tangan eksekutif.

Menurutnya, suruhanjaya tersebut perlu mencadangkan senarai calon, tidak kurang daripada tiga dan tidak lebih daripada lima nama kepada Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat.

"Selepas proses saringan dan semakan, Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat mencalonkan seorang calon kepada YDPA untuk tujuan perkenan Seri Paduka Baginda," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program anjuran Rasuah Busters, Malaysia Tanpa Rasuah bertajuk “Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat?” yang berlangsung di Studio F, Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Antara panelis terlibat, Pakar Demokrasi Berperlembagaan, Maha Balakrishnan; penganjur Projek Sama, Ngeow Chow Ying; Pengarah Eksekutif Bersih, Mohammad Asraf Sharafi; Ketua Pegawai Eksekutif C4 Centre, Pushpan Murugiah.

Turut terlibat dalam program berkenaan ialah Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin bertindak sebagai moderator.

Muhammad Faisal menegaskan, Pendakwa Raya Negara berkhidmat selama tujuh tahun tanpa pilihan untuk dilanjutkan manakala had umur bersara wajib sama dengan had umur Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu 66 tahun dengan pilihan untuk dilanjutkan enam bulan.

Pendakwa Raya Negara juga boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dan disingkirkan hanya atas sebab munasabah seperti melanggar kod etika, ketidakupayaan, keuzuran atau pelaksanaan fungsi secara tidak wajar, mengikut tatacara yang sama seperti Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu melalui tribunal ditubuhkan menurut Perlembagaan Persekutuan

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang baharu hendaklah diberi kuasa mencalonkan ahli tribunal bagi kelulusan YDPA yang mana nasihat tersebut hendaklah dipertimbangkannya di bawah Perkara 40(1A) tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Peguam Negara dalam proses tersebut.

Ujarnya, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 menyatakan bahawa Peguam Negara dilantik oleh YDPA atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

"Dalam erti kata lain tiada campur tangan Perdana Menteri atau eksekutif kerana Peguam Negara bertanggung jawab dalam isu pendakwaan kes jenayah di Mahkamah.

"Maka ia boleh timbulkan konflik berkepentingan, namun pada 1960 peruntukan berkaitan lantikan Peguam Negara dipinda seperti peruntukan sedia ada, " ujarnya.

Sehubungan itu, Bersih menggesa semangat asal Perlembagaan harus dikembalikan dengan memastikan Perdana Menteri tidak terlibat dalam lantikan Pendakwa Raya Negara yang baharu.

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Bersih menggesa agar Perdana Menteri tidak terlibat dalam lantikan Pendakwa Raya Negara baru untuk memulihkan semangat asal Perlembagaan Persekutuan
  • Pendakwa Raya Negara baru harus dilantik oleh YDPA atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang baharu tanpa campur tangan eksekutif
  • Suruhanjaya harus mencadangkan 3 hingga 5 nama calon kepada Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat untuk proses saringan sebelum pelantikan oleh YDPA
  • Pendakwa Raya Negara akan berkhidmat selama tujuh tahun dan boleh dipecat atas sebab munasabah mengikut tatacara yang sama seperti Hakim Mahkamah Persekutuan
  • Pada tahun 1960, peruntukan berkaitan lantikan Peguam Negara dipinda yang membolehkan campur tangan Perdana Menteri berbanding dengan sistem asal tahun 1957

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!