Ambil kira aduan, laporan audit

SHAH ALAM - Aduan mengenai rasuah dan maklum balas dalam laporan audit wajib diambil kira dari aspek tindakan penguatkuasaan kerana ia antara langkah memperkukuh mekanisme pemantauan serta akauntabiliti bukan sahaja di peringkat sektor awam, malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pensyarah Undang-Undang dan Polisi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pendekatan itu amat penting bagi memastikan tiada sebarang salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam pentadbiran negara.
“Selain itu, dari sudut sumber manusia, walaupun wujud kecenderungan untuk mengecilkan sektor awam, tetapi kerajaan mesti menilai keperluan yang mendesak bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja dalam konteks penguatkuasaan dan pemantauan berkaitan integriti demi mencegah rasuah.
“Dalam hal ini, saya percaya perlu tambah bilangan kakitangan agar kerajaan mampu menguatkuasakan undang-undang antirasuah terutamanya badan-badan yang mempunyai kepentingan awam.
“Dari konteks akauntabiliti, pemimpin dan pemerintah perlu dipastikan tidak terjebak unsur-unsur rasuah. Jika ia wujud, pihak berkuasa mesti ambil tindakan tegas ketika siasatan atau dakwaan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, menurut laporan Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan skor 50 mata, tidak berubah berbanding tahun lalu.
Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekodkan skor sebanyak 84 dan berada di tangga ketiga daripada 180 negara.
Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan memaklumkan, meskipun tidak mengalami kemerosotan, beberapa faktor termasuk semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi mungkin mempengaruhi ekoran tiada peningkatan terhadap skor kedudukan Malaysia.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berpandangan, sistem perundangan negara dari segi peruntukan kesalahan rasuah sudah memadai, namun penguatkuasaan dan polisi yang lemah berkaitan integriti menjadi cabaran pada hari ini.
Kata penganalisis itu, rakyat pula melihat sebahagian besar manifesto kerajaan ketika kempen pilihan raya sebelum ini tidak selari dengan apa yang pernah diungkapkan.
Tambahnya, ia antara elemen wajib diberi perhatian serius selain faktor-faktor berbangkit yang menjadi penyumbang kepada pengekalan kedudukan CPI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!