Tak perlu portfolio khas, hak bukan Islam terjamin dalam Perlembagaan - Awan Kelantan

KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan menegaskan bahawa lantikan menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam tidak perlu kerana hak masyarakat bukan Islam telah pun terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Awan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, Perlembagaan Malaysia sudah jelas memberikan jaminan kebebasan beragama kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang kepercayaan, sekali gus menjadikan cadangan mewujudkan jawatan tersebut tidak relevan.
“Perkara 3(1) Perlembagaan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi pada masa yang sama, agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Ini membuktikan bahawa hak masyarakat bukan Islam sudah dilindungi secara jelas tanpa memerlukan kementerian khas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Jom ke Sekolah 2.0 di Mini Karnival Salam Rahmah @ Kota Lama di sini pada Jumaat.
Dr Hafidzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama berkata, kebebasan beragama sudah lama diamalkan di Malaysia tanpa sebarang sekatan yang menjejaskan hak penganut agama lain.

“Perkara 11(1) Perlembagaan menjamin kebebasan beragama, membolehkan masyarakat bukan Islam menjalankan ibadat, membina rumah ibadat dan menguruskan hal agama mereka sendiri.
“Justeru, tiada keperluan untuk mewujudkan satu portfolio khas kerana sistem sedia ada terbukti berkesan dalam memastikan hak mereka terpelihara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu berkaitan agama dan kaum sering dijadikan modal politik oleh pihak tertentu yang akhirnya boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Kita hidup dalam negara majmuk yang memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskan isu-isu sensitif.
“Jika tidak ditangani dengan baik, perkara ini boleh menyebabkan salah faham yang merugikan semua pihak,” tambahnya.
Dr Hafidzah juga menyarankan supaya semua pihak lebih terbuka dalam berdialog bagi meningkatkan kefahaman antara agama tanpa mencampuri urusan kepercayaan masing-masing.
“Dialog antara agama adalah langkah terbaik untuk memperkukuhkan keharmonian.
“Namun, dialog mesti dilakukan secara sihat, bukan sebagai medan untuk mempertikaikan kedudukan agama lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa asas pembentukan negara ini berpaksikan kontrak sosial yang telah dipersetujui sejak awal, termasuk dalam aspek agama dan bahasa.
“Kita perlu menghormati asas yang disepakati dalam pembentukan negara.
“Jika semua pihak memahami dan menghormati Perlembagaan, tiada sebab untuk timbul rasa tidak puas hati,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen DAP dari Raub, Chow Yu Hui mencadangkan agar kerajaan melantik seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan bagi memastikan kebajikan penganut agama lain turut diberi perhatian, namun cadangan itu mencetuskan pelbagai reaksi dan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!