Pas Selangor dakwa DAP langgar sempadan 'garis merah'

Laporan Sinar Harian berhubung cadangan ahli Parlimen PH mewujudkan menteri hal ehwal bukan Islam
Laporan Sinar Harian berhubung cadangan ahli Parlimen PH mewujudkan menteri hal ehwal bukan Islam
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor mendakwa DAP telah melanggar sempadan 'garis merah' susulan cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk melantik menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, saranan dikemukakan ahli Parlimen DAP itu akan mencetuskan ketegangan dalam kalangan agama bukan Islam terutama dalam isu pemilihan calon menteri.

Menurutnya, ia berikutan kewujudan pelbagai agama bukan Islam di negara dan amalan yang sangat berbeza antara agama dianuti.

"DAP langgar sempadan 'garis merah'! Saranan Ahli Parlimen Raub ini hanya akan buat negara kita huru-hara. Sebelum ini, walaupun amalan, kepercayaan dan budaya dalam setiap bangsa serta agama di negara ini sangat berbeza tetapi rakyat hidup aman dan harmoni di bawah naungan Perlembagaan Persekutuan.

"DAP mesti diingatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 di samping menjamin kebebasan beragama untuk semua, Perkara 11.

"Tiada langsung peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan ini boleh menjadi asas kepada cadangan Ahli Parlimen DAP semalam (Rabu)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Rabu, Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Ahli Parlimen Raub itu berkata, langkah berkenaan penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, Exco khusus untuk menjaga rakyat bukan Islam turut diwujudkan di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Mengulas lanjut, Zurk berkata, pemimpin Melayu Islam perlu bermuhasabah berikutan keberanian yang ditunjukkan untuk mengubah struktur dan hala tuju negara sangat membimbangkan.

"Jawatankuasa Hubungan dan Persatuan Agama yang ada pada hari ini sudah cukup dan tidak timbul keperluan melantik menteri khusus yang juga akan melibatkan implikasi kewangan kepada negara.

"Jangan cabar kesabaran umat Islam dan jangan jolok sarang tebuan. Jangan ulangi peristiwa hitam yang hanya akan mencetuskan suasana huru hara antara kaum dalam negara kita. Jangan sampai negara ini berdarah sekali lagi!

"Kukuhkan kedudukan dan pengaruh kuasa politik Melayu Islam, insya-ALLAH negara ini akan harmoni dan selamat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!