Harga lantai padi RM1,500 per tan tidak banyak beri impak kepada pemain industri - Exco

Azman
Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengumuman kenaikan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik dijangka tidak memberi kesan besar terhadap industri padi dan pesawah memandangkan harga pasaran semasa telah melebihi paras tersebut.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berdasarkan trend pasaran sebelum ini, harga belian padi di kilang-kilang telah berada antara lingkungan RM1,550 hingga RM2,000 setiap tan metrik, bergantung kepada negeri.

"Ketika harga lantai padi RM1,300 setiap tan metrik pada musim lalu, rata-rata kilang padi sudah membeli padi dengan harga melebihi RM1,500 per tan.

"Bagi musim kedua tahun 2024, purata harga padi di kilang-kilang padi Terengganu ialah RM1,550 per tan. Di beberapa negeri lain, harga belian padi sudah mencecah antara RM1,800 hingga RM2,000 per tan," katanya di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan langkah kerajaan memperuntukkan subsidi RM150 juta dalam tempoh enam bulan bagi mengekalkan harga beras tempatan sebanyak RM2.60 tanpa berlaku sebarang kenaikan.

"Kepada siapakah subsidi ini akan dibayar? Tentu sekali bukan kepada pesawah. Saya faham, mereka yang akan dapat manfaat dari RM150 juta ini ialah pihak industri yang sebelum ini telah mengaut keuntungan dari manipulasi beras tempatan kepada beras import.

"Sebelum ini mereka telah untung besar dan sekarang mereka juga bakal untung besar.

"Kita lihat dalam tempoh enam bulan ini, apakah kesan pengumuman ini kepada perjalanan sektor padi dan beras negara, walaupun dua isu utama iaitu kehilangan beras putih tempatan dari pasaran dan kebajikan petani masih belum terjawab," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azman turut mempersoalkan pihak yang didakwa memainkan 'peranan' sehingga beras tempatan hampir lenyap dari pasaran.

"Walau siapa pun mereka, faktanya ialah, pihak industri yang menukar beras tempatan menjadi beras super import telah meraih keuntungan yang sangat lumayan atas beban yang dipikul oleh rakyat dan pengguna," ujarnya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kerajaan bersetuju menyelaraskan harga belian lantai padi kepada RM1,500 setiap tan metrik berbanding RM1,300 berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengumumkan, kerajaan akan mengekalkan Beras Putih Tempatan pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.

Menurutnya, penetapan harga berkenaan mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya memberi kesan kepada harga beras di pasaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!