Kerajaan sedia selaras semula harga padi, beras selepas enam bulan - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersedia menyelaraskan semula harga belian lantai padi dan Beras Putih Tempatan selepas enam bulan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia akan mengambil kira maklum balas pihak berkepentingan susulan pengumuman harga baharu belian lantai padi RM1,500 setiap tan metrik.
"Itu (reaksi) kita akan mendengar dan kita bersedia untuk bertemu...pegawai-pegawai kementerian akan turun ke bawah untuk buat libat urus.
"Kita tahu (harga) ini untuk enam bulan, dan ada enam bulan lagi yang akan datang (untuk diselaraskan semula),"katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang reaksi pesawah susulan pengumuman penyelarasan harga belian lantai padi kepada RM1,500 setiap tan metrik berbanding RM1,300.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, penetapan harga yang diumumkan telah mengambil kira kepentingan semua pihak menyebabkan kerajaan tidak dapat menunaikan permintaan pesawah yang menuntut harga lantai beras dinaikkan sehingga RM1,800.
"Kalau kita naikkan harga (lantai) padi sebegitu rupa (Rm1,800) bagaimana dengan harga beras? Dengan harga sekarangpun (RM2.60 sekilogram) kerajaan kena campur tangan...memberi subsidi.
"Lihat beberapa kilang Bumiputera yang tutup kerana tidak dapat menyediakan beras dengan harga RM2.60 seperti ditetapkan dengan harga padi dengan RM1,300," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, sebelum ini, kementerian telah mengadakan sesi libat urus di peringkat pesawah dan juga pemain industri seperti pengilang, dan pemborong.
Katanya, rundingan dan kajian dibuat bagi mengimbangi kepentingan di peringkat pesawah dan pengguna selaras dengan perkara yang ditetapkan bawah Akta 522.
"Jadi, keputusan bukan hanya dibuat untuk menjaga pesawah semata-mata, tetapi supaya apa jua harga yang ditetapkan akan memberi kelebihan kepada pengguna.
"Sebab itu kerajaan belum mampu atau boleh bersetuju dengan RM1,800 yang dituntut pesawah, sebab nak imbangi kos yang ditanggung peringkat pemprosesan dan akhirnya pengguna boleh mendapat beras pada harga mampu milik,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
