[VIDEO] Harga lantai padi baharu diumum minggu depan - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengumumkan kadar harga lantai padi yang baharu pada minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan harga munasabah itu bakal diperincikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat.

"Kita tidak boleh bicara satu pihak sahaja untuk pertahan pengguna tetapi memangsakan pesawah dan nak naikkan harga lantai padi untuk pesawah sehingga memangsakan pengguna kerana pengguna miskin B40 pun ramai.

"Minggu depan paling akhir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan beri penjelasan dengan pengumuman kenaikan harga lantai padi yang munasabah dengan subsidi daripada kerajaan yang bertambah," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi seperti yang digesa oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).

Anwar
Anwar

Sebelum ini media melaporkan, PeSAWAH menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bagi menuntut kerajaan menaikkan harga lantai penjualan padi kepada RM1,800 satu tan berbanding RM1,300 ketika ini.

Pengerusinya Abdul Rashid Yob berkata, kenaikan harga padi penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalan makanan negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memaklumkan, kerajaan akan memperuntukkan subsidi bernilai RM150 juta bagi tempoh enam bulan sebagai usaha mengimbangi harga beras dalam pasaran susulan kesan kenaikan harga lantai padi yang baharu kelak.

Tambahan subsidi berkenaan menurutnya, supaya kos pengguna tidak meningkat pada masa akan datang.

Sementara itu Anwar berkata, kerajaan Madani juga telah menyalurkan bantuan khas sumbangan tunai sebanyak RM600 setahun kepada setiap pesawah.

"Kerajaan juga telah tambah Skim Takaful Tanaman Padi dana permulaan pada 2024 sebanyak RM50 juta dan harga lantai belian padi hanya ditambah.

"Skim Subsidi Harga Padi dinaikkan RM500 satu tan daripada RM360 bagi padi bersih, baja dan sebagainya," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!