Penglibatan masyarakat sivil bukti keterbukaan Malaysia Madani - Rasuah Busters

Nurhayati
Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM – Penglibatan aktif masyarakat sivil sebagai mekanisme semak dan imbang negara dilihat sebagai bukti keterbukaan Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh integriti serta memperhebat agenda penentangan terhadap rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia–Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, penyertaan masyarakat dalam proses dialog, konsultasi dan libat urus bersama kerajaan mencerminkan kekuatan institusi negara yang semakin matang.

Menurut beliau, pendekatan yang dibawa di bawah kerangka Malaysia Madani selain memenuhi aspirasi domestik turut mencerminkan komitmen antarabangsa Malaysia terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), khususnya Artikel 13 yang menekankan penyertaan masyarakat dalam usaha pencegahan rasuah.

“Penyertaan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO) dan media sebagai mekanisme semak dan imbang adalah selari dengan piawaian global. Keterbukaan ini merupakan manifestasi jelas komitmen Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACS) yang mengangkat pendekatan keseluruhan negara melibatkan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil secara holistik dalam usaha reformasi institusi.

Katanya, keterbukaan kerajaan terhadap pandangan berbeza bukan merupakan ancaman sebaliknya menjadi instrumen penambahbaikan dasar.

"Melalui ketelusan yang tinggi, kredibiliti sesuatu undang-undang atau dasar dapat diperkukuh sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa.

“Apabila ruang sivil dibuka luas, ia membantu memulihkan defisit kepercayaan rakyat. Persepsi terhadap rasuah bukan sahaja bergantung kepada penguatkuasaan, tetapi juga kepada tahap akauntabiliti dan keterbukaan sesebuah kerajaan,” jelas beliau.

Tambahnya, data antarabangsa menunjukkan negara yang mengamalkan tahap akauntabiliti dan ketelusan yang konsisten lazimnya mencatat skor lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, ujarnya, keterbukaan merupakan lambang integriti dan memberi kesan positif kepada keyakinan pelabur serta kestabilan ekonomi negara.

Beliau menegaskan bahawa agenda memerangi rasuah bukan agenda kerajaan semata-mata, sebaliknya merupakan agenda nasional yang dipikul bersama rakyat.

“Ketelusan mengurangkan risiko pelaburan dan meningkatkan keyakinan pasaran. Ia bukan sahaja tentang pengamalan demokrasi tetapi berkait rapat dengan keadilan ekonomi dan daya saing global,” katanya.

“Peralihan daripada sekadar pematuhan undang-undang kepada pembudayaan integriti adalah kunci reformasi sebenar. Apabila masyarakat sivil dilibatkan, undang-undang dapat diterjemahkan menjadi norma dan budaya bermoral dan bersahsiah tinggi,” ujarnya.

Menurut Nurhayati, model tadbir urus kolaboratif yang melibatkan pelbagai kluster masyarakat termasuk golongan muda serta komuniti bandar dan luar bandar akan memperluas tanggungjawab membina negara ke arah yang lebih holistik.

Dalam konteks pencegahan, katanya, penglibatan masyarakat sivil juga berfungsi sebagai mekanisme amaran awal bagi mengenal pasti risiko sebelum krisis berlaku.

“Pendekatan ini bersifat pencegahan dan kita mahu membina sistem yang mampu menghalang rasuah daripada berlaku, bukan hanya bertindak selepas kerosakan terjadi,” katanya.

Beliau optimis bahawa keterbukaan yang diamalkan ketika ini mencerminkan kematangan demokrasi Malaysia dan berpotensi meningkatkan kedudukan negara dalam CPI pada tahun-tahun akan datang.

“Melawan rasuah tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Konsep whole of nation governance inilah yang akan memastikan hasilnya dapat dikembalikan kepada rakyat secara bersama,” katanya.

Ringkasan AI

  • Penglibatan masyarakat sivil membuktikan keterbukaan Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh integriti dan menentang rasuah
  • Penyertaan dalam dialog dan libat urus bersama kerajaan mencerminkan kekuatan institusi negara yang matang
  • Keterbukaan kerajaan terhadap pandangan berbeza dianggap sebagai instrumen penambahbaikan dasar
  • Ketelusan dan akauntabiliti mempengaruhi persepsi publik terhadap rasuah dan meningkatkan keyakinan pelabur
  • Pendekatan pencegahan rasuah melalui pembudayaan integriti dan libat urus masyarakat adalah kunci reformasi sebenar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!