Op Sky: SPRM dalam fasa lengkapkan kertas siasatan

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tiga selebriti telah dirakam keterangan pada Khamis bagi siasatan lanjut berhubung Op Sky melibatkan pinjaman peribadi penjawat awam.

Menurut sumber, tiga selebriti itu hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi maklumat dan membantu siasatan kes berkenaan.

"Ketiga-tiga selebriti ini tiba di Ibu Pejabat SPRM pagi semalam melalui pintu utama dan bukan mengikuti pintu belakang seperti mana yang dilaporkan oleh pihak media.

"Mereka hadir pukul 9.30 pagi semalam dan selesai memberi maklumat sekitar jam 2.30 petang. Buat masa ini juga tiada tangkapan baharu dilakukan," katanya pada Jumaat.

Katanya, SPRM telah selesai mendapatkan maklumat daripada mereka dan fokus sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga selebriti berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM semalam bagi melengkapkan siasatan.

Ahad lepas, Azam mengesahkan pihaknya akan memanggil selebriti terbabit termasuk seorang artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Op Sky.

Januari lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.

Kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.

Pegawai terbabit dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!