Ops Sky: Jalaluddin Hassan, Ziana Zain hadir ke SPRM bantu siasatan

PUTRAJAYA - Selebriti Datuk Jalaluddin Hassan dan Ziana Zain hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan.
Difahamkan mereka hadir kira-kira jam 9.30 mengikut pintu masuk jalan belakang Ibu Pejabat SPRM dan gagal dikesan oleh pihak media yang menanti di pintu utama.
Isnin lalu, media tempatan melaporkan Jalaluddin sedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan dalam Ops Sky.
Jalaluddin, 71, yang juga duta syarikat perundingan kewangan itu mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai siasatan tersebut.
Bagaimanapun tegas bintang Jalan Sesat Ke Syurga itu, penglibatannya dengan syarikat tersebut tidak lebih sebagai duta sahaja.
"Saya hanya menjadi duta dan hasilkan video bagi tujuan promosi. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu.
Penyanyi popular, Ziana Zain mengambil pendekatan untuk mengunci mulut dan enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
“No komen, saya hanya menyanyi sahaja,” ujarnya.
Januari lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan dalam operasi Ops Sky.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.
Kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

