Ops Sky: Ziana Zain, Jalaluddin, Sheikh Muzafar selesai beri keterangan

PUTRAJAYA - Selepas lima jam, tiga selebriti termasuk penyanyi terkenal Ziana Zain selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan Ops Sky.
Kenderaan yang membawa pelantun Madah Berhelah itu meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat SPRM jam 3 petang.
Dua lagi selebriti, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha terlebih dahulu keluar secara berasingan dengan kenderaan masing-masing.
Terdahulu mereka tiba jam 9.30 pagi selepas dipanggil SPRM membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan.
Menurut sumber, proses merakamkan percakapan itu bermula jam 10 pagi sebelum berakhir pada 2.45 petang.
Januari lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan dalam operasi Ops Sky.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.
Kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
