Pesakit kes-22 Covid-19 semakin sihat

Petugas Kesihatan Daerah Kuantan melakukan proses saringan kepada penumpang penerbangan Singapura-Kuantan yang tiba di terminal ketibaan LTSAS bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 hari ini. -Foto Bernama
Petugas Kesihatan Daerah Kuantan melakukan proses saringan kepada penumpang penerbangan Singapura-Kuantan yang tiba di terminal ketibaan LTSAS bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pesakit ke-22 akibat koronavirus (Covid-19) di negara ini semakin menunjukkan perkembangan status kesihatan yang sangat baik.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit wanita warga Amerika Syarikat berusia 83 tahun itu masih lagi dipantau di hospital kerana mengalami batuk yang tidak serius.

Menurutnya, kes itu dikesan bergejala melalui 'thermal scanner' sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

“Pemeriksaan klinikal dan ujian x-ray dada mengesahkan pesakit mempunyai penyakit radang paru-paru (pneumonia) dan dimasukkan ke wad isolasi.

“Sampel klinikal oropharyngeal dan nasopharyngeal diambil. Ujian pengesahan Covid-19 yang dijalankan sebanyak dua kali oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sebelum disahkan positif pada 15 Februari lepas.

“Kes telah diberikan rawatan antiviral (lopinavir/Ritonavir) dan bantuan oksigen bagi gejala yang dihadapinya. Setelah lebih 72 jam diberikan rawatan, wanita itu menunjukkan perubahan kesihatan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian Noor Hisham berkata, ujian ulangan pengesahan Covid-19 dijalankan dua kali dalam jarak masa 24 jam bagi setiap ujian dan menunjukkan keputusan negatif.

Menurutnya, ujian pengesanan ulangan itu dijalankan bagi memastikan pesakit terbabit sembuh dan negatif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Untuk makluman, merujuk kepada dapatan terkini kajian berkaitan Covid-19, hampir 80 peratus pesakit yang dilaporkan merupakan pesakit yang mengalami gejala ringan dan tiada rawatan spesifik atau antiviral diperlukan.

“Kebanyakan kes yang telah disahkan positif, sistem imun badan akan menghasilkan antibodi spesifik bagi melawan virus ini.

“Bagaimanapun, terdapat juga golongan yang tidak mempunyai sistem imun yang kuat seperti warga emas, dan jangkitan virus ini menyebabkan komplikasi yang teruk dan memerlukan bantuan ubat-ubatan seperti antiviral,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri memaklumkan tiada kes baharu direkodkan setakat jam 8 pagi semalam dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan kekal sebanyak 22 kes.

Menurutnya, daripada jumlah itu, lima kes masih dirawat di wad manakala 17 yang lain pulih dan dibenarkan keluar

Lima kes yang masih dirawat itu masing-masing tiga di Hospital Kuala Lumpur, seorang di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan seorang lagi Hospital Sungai Buloh.