Jumlah pesakit mental pasca Covid-19 meningkat

Anita (kiri) bersama Toh Puan Nor Zaini ketika majlis perasmian MIASA Clubhouse Terengganu di Kuala Nerus, baru-baru ini.
Anita (kiri) bersama Toh Puan Nor Zaini ketika majlis perasmian MIASA Clubhouse Terengganu di Kuala Nerus, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Lebih ramai individu dijangka mengalami masalah kesihatan mental selepas Covid-19 akibat pelbagai faktor yang mengundang kepada tekanan terutama mereka yang terkesan sepanjang tempoh pandemik itu.

Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan terdapat peningkatan jumlah pesakit mental ketika ini.

Jelasnya, lebih 100,000 individu dari seluruh negara telah mendapatkan sokongan daripada pelbagai platform MIASA disebabkan pelbagai masalah sejak pandemik melanda pada awal 2020.

"Sejak akhir-akhir ini, tahap kesedaran kesihatan mental semakin meningkat dan tugas kami di MIASA membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik meskipun didiagnosis dengan penyakit mental.

"Antara masalah berkaitan mental yang dialami ialah kemurungan, depresi, kecelaruan bipolar dan skizofrenia," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian MIASA Clubhouse Terengganu di sini, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Terengganu, Toh Puan Nor Zaini Abdul Latiff.

Anita memberitahu, lebih 33,000 individu yang datang ke MIASA untuk mendapatkan khidmat sokongan mental, emosi dan rohani sepanjang tahun lalu.

Katanya, kebanyakan individu tersebut melibatkan golongan terjejas pendapatan terutama yang mengalami krisis kewangan selepas kehilangan punca pendapatan.

"Dengan adanya cawangan baharu di Terengganu ini, kita jangka antara 10 hingga 15 peratus daripada jumlah itu akan datang ke sini mendapatkan pertolongan daripada 33 sukarelawan yang akan membantu mereka.

"Kami berharap dapat membantu masyarakat Pantai Timur untuk datang ke sini kerana lokasinya lebih inklusif serta merupakan pusat advokasi yang efektif untuk kesedaran dalam isu kesihatan mental.

"Kita juga mahu mewujudkan masyarakat yang tiada lagi stigma dan diskriminasi terhadap golongan ini sekali gus menyokong usaha kita membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Anita mengakui kebanyakan mereka hanya datang mendapatkan pertolongan MIASA selepas gagal dan tidak berkesan mendapatkan rawatan alternatif termasuk menggunakan khidmat bomoh.

"Apa yang menyedihkan ialah masih ada yang berjumpa dukun dan bomoh kerana percaya masalah mental mereka berpunca daripada perkara mistik.

"Disebabkan itu, kami perlu meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak malu mendapatkan rawatan kesihatan mental dengan cara yang betul," katanya

Jelas Anita, penubuhan cawangan itu adalah pertama kali dilaksanakan di luar Lembah Klang iaitu di Terengganu dan Johor.

Sehingga kini, MIASA mempunyai 127 ahli pasukan Krisis, 1,389 sukarelawan dan 786 ahli di seluruh negara.

Sejak penubuhannya, MIASA telah menjalankan hampir 1,010 program dan lebih daripada 400 program sejak wabak Covid-19 melanda dengan jangkauan impak terhadap lebih 1.5 juta orang.