Taib Mahmud semakin sihat, kembali ke tanah air 15 Ogos

Wajah terbaharu Tun Abdul Taib Mahmud yang dikongsi isteri beliau, Toh Puan Ragad Kurdi Taib di akaun media sosialnya. - Foto InstaStory Raghad Taib
Wajah terbaharu Tun Abdul Taib Mahmud yang dikongsi isteri beliau, Toh Puan Ragad Kurdi Taib di akaun media sosialnya. - Foto InstaStory Raghad Taib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud masih berada di Turki dan beliau berada dalam keadaan yang baik.

Menerusi perkongsian InstaStory oleh isterinya, Toh Puan Ragad Kurdi Taib pada Ahad, pasangan suami isteri itu kelihatan seperti berada di sebuah kafe.

Dalam perkongsian itu juga, kedengaran suara latar Ragad yang menyapa suami dan pengikut-pengikutnya.

“Happy Sunday to everyone. Hello Tun. Hello husband... I love you. We all love you. Long live Insya-Allah,” ucap Ragad.

Difahamkan, Abdul Taib dan Ragad akan kembali ke tanah air selewat-lewatnya pada 15 Ogos ini.

Turut menemani pasangan ini ialah pegawai Astana Negeri Sarawak iaitu pejabat Abdul Taib.

Selain bercuti, Abdul Taib juga menjalani prosedur pembedahan ringan bagi membaiki ususnya, yang pernah dijangkiti barah sebelum ini.

"Astana Negeri Sarawak berharap agar rakyat sentiasa bersabar dan tidak mudah terpedaya dengan berita atau spekulasi yang tidak sahih mengenai tahap kesihatan Tun Abdul Taib Mahmud," kata Astana Negeri Sarawak dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 3 Ogos lalu.

Minggu lalu, tular berita tidak benar mengenai keadaan kesihatan Abdul Taib di media sosial.

Abdul Taib yang berusia 87 tahun, menjawat jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh sejak 1 Mac 2014.

Sebelum itu, beliau menerajui Sarawak sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun dan merupakan satu-satunya anggota Kabinet negeri Sarawak yang pertama masih hidup. - Awani