KKM pantau peningkatan kes Covid-19 di Singapura

Dr Dzulkefly. Foto Bernama
Dr Dzulkefly. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau dengan teliti trajektori gelombang peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 yang dilaporkan oleh Singapura baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkadaran gabungan sub varian KP.1 dan KP.2 pada masa ini menyumbang lebih dua per tiga kes Covid-19 di Singapura.

Katanya, di Malaysia, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan pada minggu 12 hingga 18 Mei 2024 ialah 1230, berbanding 1,071 kes pada minggu sebelumnya.

"Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 14.8 peratus. Bagaimanapun tiada kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan sejak 25 April 2024.

"Mengenai varian yang kini sedang menular, kami telah melaporkan setiap KP 1.1 dan KP.2.1 pada Mac 2024. Kedua-duanya dengan gejala ringan dan tidak melaporkan sebarang peningkatan ketara dalam kes Covid-19.

"Kami akan terus memantau keadaan dan sistem kesihatan bersedia untuk sebarang lonjakan kes," jelasnya.

Tambah beliau, orang ramai digalakkan untuk mengambil beberapa langkah pencegahan antaranya mengekalkan kebersihan diri yang baik.

"Selain itu, mengurangkan interaksi sosial apabila berasa tidak sihat dan memakai topeng jika berada dalam kumpulan berisiko tinggi termasuk di kawasan yang sangat sesak, atau apabila bergejala," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!