Penunjuk perasaan baling telur depan Kedutaan Malaysia di Jakarta

JAKARTA - Kira-kira 100 orang dari pelbagai kumpulan hak asasi manusia dan kesatuan pekerja bertindak agresif melemparkan telur di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta, pada Khamis.
Tindakan itu bagi membantah kes tembakan membabitkan warga Indonesia pada 24 Januari lalu di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting, menyebabkan seorang terbunuh dan empat yang lain cedera, lapor Kompas.com.
Dalam insiden itu, seorang pekerja asing Indonesia berumur 50 tahun ditembak mati manakala empat lagi cedera selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melepaskan tembakan ke atas bot mereka selepas didakwa menceroboh perairan Malaysia.
Pihak berkuasa Indonesia di wilayah Riau telah menerima mayat lelaki tersebut pada Rabu lalu.
Penunjuk perasaan melemparkan telur sehingga menutup simbol Jata Negara di pintu masuk kedutaan dan mengotori pekarangan dengan kulit dan lendir telur tersebut.
Mereka turut membawa sepanduk bertulis, 'Tangkap dan penjarakan polis Malaysia yang menembak mati pekerja asing Indonesia'.
Kementerian Luar Negeri Indonesia (Kemlu) dalam satu kenyataan pada 25 Januari, sehari selepas kejadian berkata, insiden tembakan maut itu berlaku ketika lima warga Indonesia terbabit cuba meninggalkan Malaysia secara haram.
Pada masa sama, Kementerian Luar Negeri menuntut siasatan menyeluruh berhubung insiden ini, khususnya mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan berlebihan oleh anggota Maritim Malaysia.
Kejadian tembakan itu mencetuskan kemarahan di Indonesia selepas video salah seorang mangsa tular di media sosial minggu lalu.
Video itu menunjukkan beberapa pendatang Indonesia rebah dengan kesan tembakan berhampiran bot. Wajah mereka juga kelihatan pucat kerana menahan kesakitan di sebelah rakan-rakan lain.
“Insiden itu hanyalah satu daripada banyak kematian pekerja asing Indonesia yang didakwa di tangan pihak berkuasa Malaysia,” kata Pengarah Eksekutif Migrant Care, Wahyu Susilo.
Rekod dikumpul Migrant Care menunjukkan sekurang-kurangnya 75 kes kematian seperti itu sejak 2005.
Justeru, kumpulan itu menggesa Presiden Indonesia, Prabowo Subianto supaya mencari keadilan terhadap kematian pendatang asing kerana bimbang hubungan dengan Kuala Lumpur akan menjadi lebih buruk.
Prabowo yang melakukan lawatan ke negara ini, berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan isu-isu yang menyelubungi pekerja asing. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
