'Iran mampu beri kejutan jika berperang'

Gambar janaan AI menggambarkan situasi genting jika berlaku perang antara AS dan Iran.
Gambar janaan AI menggambarkan situasi genting jika berlaku perang antara AS dan Iran.
A
A
A

TEHERAN – Iran mungkin tidak setanding dari segi kekuatan ketenteraan berbanding Amerika Syarikat (AS), namun republik Islam itu masih mempunyai beberapa pilihan strategik yang berpotensi memberi kesan besar sekiranya tercetus konflik berskala penuh di Asia Barat.

Ketika penempatan tentera AS di rantau itu terus dipertingkat, termasuk penghantaran kumpulan kapal induk tambahan, Teheran berdepan ancaman serangan besar yang berkemungkinan menyasarkan kepimpinan tertinggi, kemudahan ketenteraan, tapak nuklear serta infrastruktur kritikal negara berkenaan.

Walaupun mengalami kerugian ketara dalam konflik 12 hari dengan Israel pada Jun lalu, Iran masih memiliki ratusan peluru berpandu jarak sederhana yang mampu mengenai Israel, menurut anggaran pihak Israel.

Serangan tersebut sebelum ini menyasarkan simpanan peluru berpandu jarak jauh Iran, kepimpinan tentera serta program nuklearnya, selain kemudahan utama yang turut dibedil oleh AS.

Ketika itu, Presiden AS, Donald Trump mendakwa tapak nuklear utama Iran telah 'dimusnahkan sepenuhnya'.

Namun, tahap sebenar kerosakan dan sejauh mana ia telah dipulihkan masih belum dapat dipastikan.

Pakar keselamatan dari Institute for National Security Studies, Danny Citrinowicz berpandangan bahawa arsenal peluru berpandu jarak dekat Iran sebahagian besarnya tidak terjejas.

Keupayaan itu berpotensi digunakan untuk menyasarkan pangkalan tentera AS di Qatar, Arab Saudi, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu yang menempatkan puluhan ribu anggota tentera Amerika.

Ancaman terhadap laluan minyak strategik

Artikel Berkaitan:

Iran sebelum ini pernah mengancam untuk menutup Selat Hormuz – laluan perkapalan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak global.

Ketika latihan ketenteraan minggu lalu, tentera Iran dilaporkan menutup sebahagian laluan tersebut sebagai isyarat keupayaan strategiknya.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei memberi amaran bahawa kapal perang AS boleh menjadi sasaran jika negara itu diserang.

Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan bahawa semua pangkalan dan aset ketenteraan AS di rantau itu akan dianggap sebagai sasaran sah sekiranya konflik tercetus.

Penganalisis berpendapat, sebarang gangguan di Selat Hormuz boleh mencetuskan lonjakan harga minyak global serta memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.

Iran sebelum ini melancarkan serangan peluru berpandu terhadap pangkalan AS di Iraq pada 2020 susulan pembunuhan seorang jeneral kanannya.

Serangan lain turut dilaporkan menyasarkan pangkalan AS di Qatar pada penghujung konflik tahun lalu.

Walaupun menyebabkan kerosakan, insiden berkenaan tidak mengakibatkan kematian kerana sistem amaran awal dan pertahanan udara sempat diaktifkan.

Menurut Nate Swanson dari Atlantic Council, pegawai Iran mungkin merasakan keperluan untuk bertindak balas lebih tegas sekiranya kelangsungan pemerintahan republik Islam itu terancam.

Namun, penganalisis juga menegaskan bahawa kematian Ali Khamenei yang kini berusia 86 tahun, tidak semestinya menandakan kejatuhan sistem pemerintahan sedia ada, kerana struktur kepimpinan alternatif dipercayai telah dirancang.

Sekutu serantau turut bimbang

Sekutu utama AS di Asia Barat menyuarakan kebimbangan terhadap risiko perang serantau.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa sebarang serangan Iran terhadap Israel akan dibalas dengan tindakan besar-besaran.

Dalam masa sama, negara Teluk Arab yang menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera AS dilaporkan tidak mahu wilayah atau ruang udara mereka digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran, bagi mengelakkan mereka terheret ke dalam konflik.

Iran pula mempunyai rangkaian sekutu serantau termasuk kumpulan Houthi di Yemen, Hizbullah di Lubnan serta Hamas di wilayah Palestin.

Namun, rangkaian yang digelar 'Paksi Penentangan' itu dilaporkan mengalami tekanan ketara sejak konflik tercetus pada Oktober 2023.

Rundingan nuklear masih berlangsung

Dalam perkembangan berkaitan, AS dan Iran dilaporkan mengadakan satu lagi pusingan rundingan tidak langsung di Geneva pada Khamis, yang disifatkan sebagai berpotensi menentukan hala tuju ketegangan semasa.

Iran menegaskan program nuklearnya bertujuan aman, namun tahap pengayaan uranium yang tinggi mencetuskan kebimbangan kuasa Barat bahawa Teheran berpotensi membangunkan senjata nuklear pada masa depan.

Walaupun beberapa kemudahan utama Iran telah diserang pada Jun lalu, status sebenar simpanan uranium yang diperkaya masih tidak jelas.

Iran juga dilaporkan menyekat pemeriksaan lanjut, sekali gus menambah ketidakpastian terhadap perkembangan program tersebut. - Agensi

Ringkasan AI

  • Iran mungkin tidak setanding dengan AS dari segi kekuatan ketenteraan tetapi memiliki strategi berpotensi besar dalam konflik
  • Iran masih memiliki ratusan peluru berpandu jarak sederhana yang dapat mengenai Israel
  • Ancaman Iran terhadap Selat Hormuz boleh mencetuskan lonjakan harga minyak global
  • Serangan Iran pada tahun 2020 dan yang terkini menunjukkan keberanian bertindak terhadap aset AS
  • Rundingan nuklear antara AS dan Iran masih berlangsung, menunjukkan kemungkinan penyelesaian konflik melalui dialog

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!