Kes tembak Tanjung Rhu: Warga Indonesia terlibat seludup migran

SHAH ALAM - Kumpulan warga asing yang bertindak menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor pada 24 Januari lalu, dikenal pasti terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat warga Indonesia yang masih menerima rawatan di hospital serta seorang yang meninggal dunia disahkan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kita percaya ketika kejadian, mereka dalam proses untuk keluar dari perairan Malaysia. Mereka ini terlibat dengan penyeludupan manusia dan kita masih siasat peranan kesemua individu ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai status terkini kes itu, Hussein berkata, siasatan hampir selesai dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Katanya, polis telah merekodkan keterangan 14 pegawai dan anggota Maritim Malaysia, selain dua warga Indonesia yang sedang dirawat di Hospital Sultan Idris Shah di Serdang.
"Dua bot milik Maritim Malaysia dan bot suspek juga dirampas untuk membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, polis juga masih dalam tindakan mengenal pasti warga Indonesia lain termasuk yang menghantar suspek ke hospital serta penumpang bot.
"Kita percaya Maritim Malaysia ada prosedur mereka sebelum melepaskan tembakan apabila diancam. Pihak berkuasa sentiasa melakukan rondaan dalam mengekang aktiviti pendatang asing tanpa izin di perairan negara," ujarnya.
Tegasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang warga asing maut dan empat lagi cedera dalam kejadian pada kira-kira jam 3 pagi itu.
Tiga individu yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang dan seorang lagi dihantar ke Hospital Klang bagi mendapat rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
