Polis buru saki baki suspek kes tembak di Tanjung Rhu, Banting

Hussein (tengah) bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya NPE, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. - Foto: Bernama
Hussein (tengah) bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya NPE, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha mengesan dan memburu saki baki kumpulan warga asing yang bertindak menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya yakin terdapat saki baki kumpulan penyerang yang dipercayai warga Indonesia.

"Pihak polis pada masa ini cuba mengesan saki baki kumpulan penyerang melibatkan warga asing ini.

"Kita percaya mungkin ada lagi individu terlibat berdasarkan kapasiti bot yang boleh menampung antara 15 hingga 20 orang," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE).

Hussein (depan, dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus semasa majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya NPE, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. - Foto: Bernama
Hussein (depan, dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus semasa majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya NPE, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. - Foto: Bernama

Hadir sama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang digunakan suspek, tiada sebarang senjata berbahaya ditemukan.

Menurutnya, bot terbabit dipercayai mahu keluar dari sempadan perairan negara, namun telah bertembung dengan petugas Maritim Malaysia yang menjalankan tugas rondaan di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan warga asing itu cuba menyerang petugas Maritim Malaysia dengan menggunakan parang serta melanggar bot penguat kuasa empat kali.

"Bagi mempertahankan diri dan keselamatan, anggota Maritim Malaysia telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Hussein berkata, bot yang dinaiki suspek berjaya melarikan diri ekoran keadaan yang gelap.

Ditanya mengenai keadaan empat suspek yang terkena tembakan dalam kejadian itu, beliau berkata, kesemuanya berada dalam keadaan stabil.

"Kita telah melakukan proses rakaman percakapan ke atas seorang suspek manakala tiga lagi masih belum dilakukan," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang warga asing maut dan empat lagi cedera dalam kejadian jam 3 pagi pada Jumaat.

Tiga individu yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang dan seorang lagi dihantar ke Hospital Klang bagi mendapat rawatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!