Kes serang anggota Maritim: Warga asing maut, seorang cedera dalam bot

Seorang warga asing maut manakala seorang lagi parah akibat terkena tembakan selepas bertindak menyerang anggota Maritim Malaysia semasa pasukan keselamatan negara menjalankan tugas rondaan di perairan Tanjung Rhu, Selangor, pada Jumaat. Foto ihsan Maritim Malaysia
Seorang warga asing maut manakala seorang lagi parah akibat terkena tembakan selepas bertindak menyerang anggota Maritim Malaysia semasa pasukan keselamatan negara menjalankan tugas rondaan di perairan Tanjung Rhu, Selangor, pada Jumaat. Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Dua warga asing dipercayai bertindak menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semasa pasukan keselamatan negara menjalankan tugas rondaan di perairan Tanjung Rhu, Selangor, pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati bot milik pasukan Maritim Malaysia telah dilanggar empat kali oleh sebuah bot milik suspek.

Beliau berkata, semasa kejadian sekitar jam 3 pagi itu, dua orang suspek dipercayai warga asing yang berada di dalam bot telah cuba menyerang pihak Maritim Malaysia dengan menggunakan parang.

"Bagi mempertahankan diri dan keselamatan, anggota Maritim Malaysia telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot tersebut.

"Tetapi bot tersebut berjaya melarikan diri ekoran keadaan yang gelap," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Hussein berkata, lebih kurang jam 9 pagi, pihak Maritim Malaysia telah menerima maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat sebuah bot terdampar di pesisir pantai di Banting, Selangor.

Kata beliau, Maritim Malaysia telah pergi ke lokasi bot terdampar dan menemukan dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut beliau, pasukan Maritim Malaysia telah bertindak menunda bot tersebut sehingga ke pengkalan Maritim Malaysia di Port Klang dan mendapatkan bantuan ambulans.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia, manakala seorang lagi masih hidup dan berada dalam keadaan kritikal.

"Salah seorang suspek yang cedera itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Tambahnya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000.

"Selain itu, kes juga disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan yang memperuntukkan hukuman penjara selama satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Terdahulu beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerima laporan daripada pengadu yang merupakan seorang pegawai perubatan bertugas di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.

Kata beliau, semasa bertugas sekitar jam 7.30 pagi pada Jumaat, pengadu telah menerima tiga orang pesakit lelaki disyaki warganegara asing dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan kesan tembakan di anggota badan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!