Maritim berhak bertindak tegas tapi perlu seimbang hak asasi

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempunyai hak untuk bertindak tegas dalam memastikan keselamatan sempadan negara terjamin selamat.
Bagaimanapun, Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata, pihak berkuasa itu perlu mengimbangi kewajipan untuk menegakkan hak asasi manusia.

Perkara tersebut susulan kes dua warga asing dipercayai bertindak menyerang anggota maritim semasa pasukan keselamatan negara itu menjalankan tugas rondaan di perairan Tanjung Rhu, Selangor pada Jumaat lalu.
Mohd Yazid berkata, insiden tembakan tersebut menimbulkan kebimbangan besar mengenai isu perundangan, diplomatik dan kemanusiaan.
“Dari sudut undang-undang, maritim perlu memastikan tindakan mereka mematuhi undang-undang antarabangsa dan tempatan.
“Walaupun mereka mendakwa tindakan tersebut untuk mempertahankan diri, ia penting menentukan sama ada kekerasan yang digunakan adalah wajar dan seimbang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Mohd Yazid berkata, kematian dan kecederaan berlaku turut menunjukkan terdedahnya pekerja asing yang sering mengambil jalan tidak selamat serta tidak sah.
“Kedua-dua kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama untuk memastikan siasatan yang telus atau bebas dijalankan bagi memulihkan keyakinan serta mencari keadilan,” ujarnya.
Tambah beliau, untuk mengelakkan insiden seperti itu berulang pada masa akan datang, langkah pencegahan seperti pengurusan sempadan lebih baik, rondaan bersama dan laluan migrasi yang selamat perlu diberi keutamaan.
Jelasnya, menangani punca utama isu pendatang asing juga perlu melalui kerjasama serantau dan merupakan kunci untuk mengelakkan tragedi buruk berlaku pada masa akan datang.
“Malaysia perlu ambil pengajaran daripada insiden yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan Colombia baru-baru ini.
“Tindakan AS dikira melayan pendatang asing tanpa izin dengan kasar dan tidak hormat menyebabkan kerosakan hubungan diplomatik yang teruk,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
