Pakistan lancar serangan udara ke atas Taliban di Afghanistan

KABUL – Pakistan melancarkan serangan udara ke atas Kabul dan beberapa bandar lain di Afghanistan, ketika ketegangan memuncak susulan pertempuran di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif pada Jumaat berkata, 'kesabaran Pakistan sudah habis', sambil mengisytiharkan bahawa negaranya kini melancarkan 'perang terbuka' terhadap pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.
Menurut wartawan Al Jazeera di Kabul, satu serangan udara menyasarkan ibu kota Afghanistan sekitar jam 1.50 pagi waktu tempatan, diikuti satu lagi serangan tidak lama kemudian.
Bedilan meriam anti-pesawat Afghanistan dilaporkan dilepaskan selepas serangan pertama dan berterusan susulan serangan kedua.
Sumber kerajaan Afghanistan mengesahkan kepada Al Jazeera bahawa serangan udara telah mengenai Kabul, manakala pesawat pejuang Pakistan turut menyasarkan sebuah pangkalan tentera di wilayah Kandahar, selatan Afghanistan.
Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar mendakwa, 133 pejuang Taliban terbunuh dalam serangan pada Jumaat, dengan sasaran melibatkan kedudukan Taliban di Kabul, Kandahar dan Paktia.
Beliau turut mendakwa sembilan kedudukan Taliban berjaya ditawan dan 27 lagi dimusnahkan, sambil menegaskan operasi ketenteraan masih diteruskan.
Serangan tersebut menyusul tindakan pasukan Afghanistan pada Khamis lewat malam yang didakwa menyerang kedudukan tentera Pakistan di sepanjang sempadan bersama.
Sumber ketenteraan Afghanistan pula mendakwa 10 anggota tentera Pakistan terbunuh dan 13 pos kawalan dirampas dalam serangan berkenaan.
Menurut sumber Afghanistan, serangan ke atas kedudukan Pakistan itu adalah tindak balas terhadap serangan Islamabad di kawasan sempadan pada Ahad lalu.
Pakistan sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya 70 pejuang terbunuh dalam operasi tersebut, namun Afghanistan menolak dakwaan itu dan menyatakan orang awam menjadi korban.
Dalam kenyataannya, Khawaja Asif menuduh Taliban bertindak sebagai proksi kepada India dan mendakwa Pakistan sebelum ini telah berusaha mengekalkan kestabilan melalui saluran diplomatik.
“Pakistan telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan keadaan kekal normal melalui saluran langsung dan negara sahabat. Namun, kesabaran kami telah 'melimpah'. Kini ia adalah perang terbuka antara kami dan kamu,” katanya.
Pertempuran terbaru ini menandakan peningkatan ketara dalam ketegangan antara Pakistan dan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan, yang sebelum ini sudah pun tegang susulan isu keselamatan sempadan dan dakwaan perlindungan terhadap kumpulan militan.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap risiko konflik lebih meluas di rantau Asia Selatan sekiranya kedua-dua pihak gagal meredakan ketegangan melalui rundingan diplomatik.- Agensi
Ringkasan AI
- Pakistan melancarkan serangan udara ke atas Kabul dan bandar lain di Afghanistan
- Menteri Pertahanan Pakistan mengisytiharkan negaranya berperang terbuka dengan Taliban
- Serangan udara Pakistan menyasarkan ibu kota Afghanistan dan pangkalan tentera di Kandahar
- Pakistan mendakwa membunuh 133 pejuang Taliban dan merampas sembilan kedudukan mereka
- Ketegangan di sempadan kedua-dua negara meningkat, menandakan risiko konflik lebih meluas di Asia Selatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
