Tiga nelayan minum air hujan sepanjang lima hari hanyut di laut

Halimah Shaari, 67, menerima kucupan rindu daripada cucu, Mohd Aiman dan anaknya, Asrulhisham yang baru tiba setelah hanyut ketika merawai ikan, 9 Januari lalu.
Halimah Shaari, 67, menerima kucupan rindu daripada cucu, Mohd Aiman dan anaknya, Asrulhisham yang baru tiba setelah hanyut ketika merawai ikan, 9 Januari lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Sepanjang lima hari hanyut di laut, kami hanya sempat bakar ikan tenggiri pada hari pertama untuk lapik perut, selebihnya minum air hujan."

Demikian luahan nelayan, Asrulhisham Zainon, 47, yang hanyut bersama anak, Mohd Aiman, 16, dan seorang lagi nelayan, Mohamad Al Amin Sufian, 29, ketika keluar merawai ikan di perairan Pulau Payar pada 9 Januari lalu.

Menurut Asrulhisham, mereka biasanya pulang ke rumah keesokan pagi, namun disebabkan bot hanyut, talian telefon pula tidak dapat digunakan dan tiada nelayan melalui kawasan itu menyebabkan mereka gagal memohon bantuan.

Mohd Aiman mendengar perkongsian bapanya mengenai kejadian menimpa mereka yang hanyut ketika merawai ikan di perairan Pulau Payar, Kedah.
Mohd Aiman mendengar perkongsian bapanya mengenai kejadian menimpa mereka yang hanyut ketika merawai ikan di perairan Pulau Payar, Kedah.

"Disebabkan banyak hari hanyut, ikan terpaksa dibuang, semua rosak sebab tak bawa ais. Kami asyik memikirkan bila lah nak sampai darat.

"Akhirnya, selepas beberapa hari berada di laut, doa kami termakbul, bot kami terdampar di pangkalan yang dinamakan Kuala Peunaga, Acheh Tamiang, Indonesia," katanya.

Mereka yang keletihan telah dibawa pulang penduduk tempatan dan diberi makan nasi berlauk sambal telur.

Katanya, mereka bertiga kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk urusan dokumentasi dan penghantaran pulang.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang berlindung di sana, kami mendapat layanan baik dan diberi makan secukupnya.

"Kalau ikutkan nak balik ke Malaysia selepas tukar bateri dan enjin bot berjaya dihidupkan, tapi keadaan cuaca dan ombak bergelora menyebabkan kami akur dengan arahan pihak berkuasa dan kedutaan untuk berada di negara itu sehingga keadaan selamat," katanya.

Asrulhisham yang berpengalaman kira-kira 15 tahun sebagai nelayan berkata, pada Subuh 22 Januari lalu, mereka dibenarkan bertolak pulang dengan diiringi pihak berkuasa Indonesia setelah kira-kira 10 hari berlindung di sana.

Asrulhisham dan Mohd Aiman (tengah) yang keletihan setelah baru tiba dari Indonesia.
Asrulhisham dan Mohd Aiman (tengah) yang keletihan setelah baru tiba dari Indonesia.

"Kami diiringi pihak berkuasa sana sehingga tiba di Tukun Perak di sempadan perairan Indonesia-Malaysia beberapa jam kemudian.

"Dari situ kami diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedia menunggu untuk mengiringi kami sehingga sampai ke Pulau Payar sekitar jam 4 petang," katanya.

Menurutnya, perjalanan kemudian diteruskan pula dengan bantuan pihak Maritim Malaysia yang mengiringi mereka sehingga selamat sampai ke perairan Kedah jam 4 pagi, 23 Januari lalu.

"Nak kata serik tidak la...masalah teknikal sikit ja. Bekalan minyak masih banyak, lepas tukar bateri bot boleh hidup macam biasa," ujarnya yang turut mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas kerjasama pihak berkuasa kedua-dua negara dan penduduk tempatan sehingga mereka selamat tiba ke pangkuan keluarga.

Anaknya, Mohd Aiman, 16, berkata, pengalaman tersesat di laut tidak menjadikan dia gentar malah akan terus mengikut bapanya turun ke laut ketika hujung minggu dan cuti sekolah yang dianggap sesuatu aktiviti yang menenangkan jiwa.

"Lega dah boleh balik dan jejak kaki ke rumah...teringin nak makan nasi kandar pula," ujarnya berseloroh.

Dalam perkembangan sama, kakak kepada Mohamad Al-Amin, Wafiy Syafikah, 31, ketika dihubungi memberitahu adiknya sudah selamat tiba di rumah.

Dia turut meluahkan kesyukuran dan hilang rasa kerisauan apabila insan tersayang yang ditunggu-tunggu, sudah ada di depan mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!