Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar merawai

KUALA KEDAH - Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan rawai (merawai) sejak petang Jumaat.
Mangsa dikenali sebagai Asrulhisham Zainon, 47, bersama Mohd Aiman Asrulhisham dan Mohd Amin dipercayai keluar merawai di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan telefon daripada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda memaklumkan laporan kehilangan dibuat adik kepada salah seorang mangsa.
Beliau berkata, bertindak daripada laporan yang diterima, MRSC Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat).
"Bot Perkasa 1224 turut diatur gerak ke lokasi aduan untuk melakukan pencarian.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menambah, usaha mengesan bot itu turut melibatkan aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sementara itu, beliau berkata, pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

