Cuaca panas: MADA laksana solat sunat istisqa di Empangan Pedu

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melaksanakan solat sunat istisqa di Empangan Pedu, Padang Terap sebagai ikhtiar rohani memohon hujan susulan cuaca panas dan ketiadaan hujan berpanjangan di kawasan tadahan empangan di bawah seliaannya.
Agensi tersebut berkata, solat berkenaan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad yang juga pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Menurutnya, kira-kira 90 pegawai dan kakitangan MADA menyertai solat tersebut selain kehadiran pegawai Angkatan Tentera Malaysia sebagai tanda sokongan dan kebersamaan antara agensi.
“Semoga ikhtiar ini diterima ALLAH SWT, dikurniakan hujan yang membawa rahmat, memulihkan paras empangan dan menjamin kelestarian pengeluaran padi demi keterjaminan makanan negara,” kata MADA dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Paras takungan air bagi tiga empangan di bawah seliaan MADA sehingga 5 Februari lalu merekodkan Empangan Pedu sebanyak 401,585 ekar kaki (45.90 peratus), Empangan Muda sebanyak 50,250 ekar kaki (40.20 peratus) dan Empangan Ahning sebanyak 132,932 ekar kaki (59.61 peratus).
Walaupun paras takungan mencatatkan penurunan, MADA telah melaksanakan pengurusan air secara berhemah, terkawal dan mampu menyokong kelangsungan keperluan pengairan pertanian sehingga tamat musim penanaman semasa serta keperluan domestik dan industri.
Bagi persediaan menghadapi permulaan Musim 1/2026 yang dijangka akan bermula pada April depan, kedudukan takungan Empangan Pedu diramalkan berada sekitar 465,800 ekar kaki, bersamaan 53.2 peratus.
Sumber pengairan dari pelepasan empangan akan digunakan sebagai bekalan pengairan sokongan dan dijangkakan peralihan monsun akan berlaku dalam tempoh tersebut dan menyebabkan berlakunya turunan hujan dan boleh digunakan sebagai sumber bekalan pengairan untuk penanaman padi.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di tiga negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak bermula Rabu sehigga Ahad ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembenihan awan itu dibuat berikutan paras air beberapa empangan di negeri tersebut semakin menyusut disebabkan cuaca panas yang berterusan.
Ringkasan AI
- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melaksanakan solat sunat istisqa di Empangan Pedu, Padang Terap memohon hujan
- Solat diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad
- Kira-kira 90 pegawai dan kakitangan MADA serta pegawai Angkatan Tentera Malaysia menyertai solat tersebut
- Paras takungan air empangan di bawah seliaan MADA menunjukkan penurunan tetapi masih mampu menyokong keperluan pengairan pertanian
- Operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di tiga negeri termasuk Kedah untuk mengatasi masalah susut paras air disebabkan cuaca panas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

