Tiga nelayan hilang ditemui selamat di Indonesia

ALOR SETAR - Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang sejak Jumaat lalu ditemui selamat dan berada di Indonesia.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat dari waris bahawa mereka telah dihubungi oleh mangsa.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka kini berada di Indonesia.
"Pihak Maritim Malaysia telah menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia untuk pengesahan dan dimaklumkan bahawa ketiga-tiga mangsa selamat dan berada dalam keadaan baik.
"Kenyataan rasmi akan dikeluarkan petang ini," katanya pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan tiga nelayan tersebut, Asrulhisham Zainon, 47, anaknya, Shahril Aiman Asrulhisham, 16, dan awak-awak, Mohamad Al Amin Sufian, 29, dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di Pulau Payar, Kuala Kedah sejak Khamis lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mereka telah dilakukan oleh pasukan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!