JHEAIPP nafi pertandingan bola sepak Piala TKM 1 guna duit masjid

JHEAIPP menegaskan bahawa penganjuran Pertandingan Bola Sepak Sempena Piala TKM 1 Pulau Pinang tidak menggunakan wang kutipan tabung masjid sebaliknya dibiayai melalui peruntukan khas pengimarahan masjid yang disalurkan oleh kerajaan negeri.
JHEAIPP menegaskan bahawa penganjuran Pertandingan Bola Sepak Sempena Piala TKM 1 Pulau Pinang tidak menggunakan wang kutipan tabung masjid sebaliknya dibiayai melalui peruntukan khas pengimarahan masjid yang disalurkan oleh kerajaan negeri.
A
A
A

GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menegaskan bahawa penganjuran Pertandingan Bola Sepak Sempena Piala TKM 1 Pulau Pinang tidak menggunakan wang kutipan tabung masjid sebaliknya dibiayai melalui peruntukan khas pengimarahan masjid yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

Pengarahnya, Marzuki Hassan berkata, penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang tular di media sosial berhubung penggunaan dana masjid untuk menganjurkan pertandingan berkenaan.

Menurutnya, isu berkenaan bermula apabila satu akaun Facebook memuat naik hantaran berkaitan pertandingan bola sepak yang didakwa menggunakan duit tabung masjid untuk aktiviti agama.

Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang telah menyalurkan peruntukan tahunan kepada JHEAIPP bagi tahun 2025 sebanyak RM1 juta khusus untuk tujuan pengimarahan masjid.

Katanya, pembahagian peruntukan tersebut melibatkan beberapa masjid iaitu Masjid Negeri Pulau Pinang (RM470,000), Masjid Abdullah Fahim (RM105,000), Masjid Daerah Timur Laut (RM85,000), Masjid Daerah Barat Daya (RM85,000), Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (RM85,000), Masjid Daerah Seberang Perai Utara (RM85,000) dan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (RM85,000) menjadikan jumlah keseluruhan RM1 juta.

“Sebagai salah satu inisiatif pengimarahan masjid dengan penglibatan anak-anak kariah, JHEAIPP mengesyorkan penganjuran Pertandingan Bola Sepak Sempena Piala TKM 1 Pulau Pinang bagi mengeratkan hubungan anak muda dengan institusi masjid serta memperkukuh ukhuwah sesama anak kariah,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Tambah beliau, cadangan penamaan Piala TKM 1 adalah daripada pihak JHEAIPP sendiri memandangkan TKM 1 merupakan Exco Pembangunan Hal Ehwal Agama Islam negeri selaras dengan peranan dan portfolio yang disandang.

"Bagi menjayakan penganjuran program itu, lima masjid telah menyumbangkan sebahagian peruntukan pengimarahan masing-masing iaitu Masjid Abdullah Fahim, Masjid Daerah Timur Laut, Masjid Daerah Barat Daya, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah dan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan," ujarnya.

Menurutnya, setiap masjid menyumbang sebanyak RM6,026.26 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan RM30,131.30.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi tahun 2026, kerajaan negeri turut memperuntukkan jumlah yang sama iaitu RM1 juta bagi tujuan pengimarahan kepada masjid-masjid berkenaan.

"Penganjuran pertandingan tersebut adalah sebahagian usaha memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat pembangunan ummah yang menyeluruh, meliputi aspek rohani, sosial dan pembinaan jati diri generasi muda," tambahnya lagi.

 

Ringkasan AI

  • JHEAIPP menafikan dana masjid digunakan untuk Pertandingan Bola Sepak Sempena Piala TKM 1 Pulau Pinang, biaya datang dari peruntukan khas kerajaan negeri
  • Penjelasan dibuat susulan dakwaan salah guna dana masjid di media sosial
  • Kerajaan Pulau Pinang salurkan RM1 juta untuk pengimarahan masjid tahunan
  • Penganjuran pertandingan bola sepak sebagai inisiatif menguatkan hubungan anak muda dengan masjid
  • Lima masjid sumbang sebahagian peruntukan untuk biaya pertandingan, jumlah sumbangan RM30,131.30

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!