Yakin Al-Amin, dua lagi nelayan selamat - Ibu

Barisah (kanan) dan suaminya menunjukkan gambar Al-Amin semasa ditemui di rumah mereka di Taman Semarak, Sungai Petani pada Isnin. Gambar kecil: Mohamad Al-Amin
Barisah (kanan) dan suaminya menunjukkan gambar Al-Amin semasa ditemui di rumah mereka di Taman Semarak, Sungai Petani pada Isnin. Gambar kecil: Mohamad Al-Amin
A
A
A

SUNGAI PETANI - Keluarga kepada nelayan yang dikhuatiri hilang semasa merawai ikan di Pulau Payar pada Jumaat lalu yakin mereka akan ditemui selamat selepas operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) memasuki hari ketiga.

Ibu kepada Mohamad Al-Amin Sufian, Barisah Ahmad, 59, berkata, mereka sekeluarga turut membuat bacaan Yasin untuk mendoakan keselamatan mereka di Surau Al Hidayah, Taman Semarak pada Ahad malam.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu anaknya pada Ahad minggu lalu yang turut membawa pulang ikan ke rumah.

"Al-Amin mula serius bekerja sebagai nelayan pada tahun 2020 kerana tidak suka kerja banyak tekanan.

"Dia tinggal di pelantar ikan sejak bekerja sebagai nelayan dan akan pulang ke rumah seminggu sekali," katanya semasa ditemui di rumah mereka di Taman Semarak pada Isnin.

Jelas Barisah, mereka sekeluarga mengetahui Al-Amin hilang pada pagi Sabtu lalu selepas rakan anaknya datang ke rumah dan memaklumkan kejadian tersebut.

Dia dan suaminya, Sufian Zakaria, 60, kemudiannya ke Balai Polis Tikam Batu untuk membuat pengesahan orang hilang.

Pada Sabtu, media melaporkan Mohamad Al-Amin bersama dua lagi nelayan iaitu Asrulhisham Zainon, 47, bersama anak bongsunya, Mohd Aiman, 16, dilaporkan hilang di sekitar Pulau Payar sejak Jumaat.

Barisah berkata, dia pernah menasihatkan anak kedua daripada lima beradik itu agar mencari kerja lain kerana masih muda namun Al-Amin dilihat menunjukkan minat tinggi terhadap pekerjaan sebagai nelayan.

Artikel Berkaitan:

"Kali terakhir dia balik sini pun Ahad lalu dan selalunya saya akan masak makanan berasaskan ayam kerana Amin memang suka makan ayam.

"Walaupun dia kerja menangkap ikan tetapi dia tidak suka makan ikan dan selalunya bila dia balik ke rumah, dia akan membawa ikan untuk kami sekeluarga, " ujarnya.

Sementara itu, kakak sulung mangsa, Wafiy Syafikah, 31, berkata, dia melihat adiknya itu memuatkan video turun ke laut di aplikasi TikTok pada Khamis lalu.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) tiga nelayan yang dilaporkan hilang di sekitar Pulau Payar sejak Jumaat lalu diteruskan pada hari ketiga.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi tersebut bermula pada jam 7.30 pagi dan sektor pencarian telah diperluas meliputi keluasan sejauh 371.28 batu nautika persegi.

Menurutnya, Carilamat melibatkan penggunaan aset udara dan sebuah kapal milik Maritim Malaysia, bot ronda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!