JPJ tak boleh sewenangnya batal lesen pemandu OKU mental - Anthony

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan lesen memandu individu hanya kerana mereka orang kurang upaya (OKU) mental.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bukan semua OKU tidak mampu memandu dengan baik dan jika berlaku ia hanya kes terpencil.
Menurutnya, OKU juga memerlukan lesen untuk bekerja atau melakukan urusan seharian.
"Kalau ada kes-kes terpencil, kes-kes spesifik kita akan lihatlah sama ada nak tarik balik lesen mereka. Jangan generalisasi sebab ramai OKU yang mampu membawa kenderaan dengan selamat malah kita ada pemandu e-hailing pun daripada golongan OKU yang mungkin bisu, pekak dan sebagainya mereka pemandu e-hailing yang kita lesenkan.
"Mereka adalah pemandu-pemandu yang baik jadi saya tak nak nanti satu kenyataan secara umum mangsakan yang lain. Jadi kalau ada kes-kes tertentu kita akan lihat dan ambil tindakan dengan sewajarnya," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pembangunan Ipoh Sentral di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan; Pengerusi MRCB Land, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi, Datuk Azhar Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim.
Pada 22 Januari, media melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan agar JPJ membatalkan lesen memandu individu yang disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai OKU mental.
Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Fahami Ashrof Badaruddin berkata, membenarkan seseorang tanpa kewarasan akal boleh meletakkan bahaya kepada orang lain.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang lelaki OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada 9.30 pagi.
Lelaki itu dipercayai dipukul selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual tumpah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

