Kastam rampas minuman keras, minuman tenaga bergula RM1.67 juta

Norlela (tengah) menunjukkan minuman keras dan produk minuman tenaga bergula yang dirampas.
Norlela (tengah) menunjukkan minuman keras dan produk minuman tenaga bergula yang dirampas.
A
A
A

PETALING JAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pembekalan minuman keras dan produk minuman tenaga bergula dalam tiga serbuan berasingan di Lembah Klang, pada 9 Januari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pihaknya merampas 10,292 liter minuman keras dan 24,600 liter minuman tenaga bergula dianggarkan bernilai RM1,678,504.

"Serbuan pertama, kita menahan tiga lelaki warga China dan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 hingga 45 tahun yang juga pekerja sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Balakong, pada jam 11.30 pagi.

"Kita turut menemukan 2,488 liter minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM157,716, membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM241,000," katanya pada sidang akhbar di Wisma JKDM Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Norlela berkata, modus operandi sindiket itu telah menyewa gudang dengan bayaran RM6,500 sebulan untuk menyimpan bekalan minuman keras sebelum diedar ke pasaran tempatan sejak Disember lalu.

"Sindiket berkenaan menyewa gudang berkenaan dengan menggunakan nama individu lain," katanya.

Mengulas lanjut, Norlela berkata, pihaknya menyerbu sebuah gudang yang disyaki ada kaitan dengan sindiket sama di Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan, pada jam 1.30 petang.

"Pemeriksaan di premis berkenaan kita telah menemukan 7,804 liter minuman keras pelbagai jenama. Duti terlibat pula sebanyak RM717,450.

Artikel Berkaitan:

"Pengimportan minuman keras memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019," katanya.

Norlela berkata, dalam serbuan kes berasingan, pihaknya menggagalkan cubaan membawa masuk produk minuman tenaga, bergula dari India.

"Kita menahan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, pada 11.45 pagi, hari sama.

"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kontena, kita menemukan 24,600 liter produk minuman tenaga bergula dan anggaran nilai sebanyak RM172,200. Cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM79,458," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dagangan telah diikrarkan dengan tidak benar.

"Borang Kastam 1 telah diikrarkan dengan menggunakan kod tarif minuman tidak bergula bagi mengelak cukai dan duti terlibat," katanya.

Menurutnya, minuman tenaga bergula diklasifikasikan sebagai barang bercukai di bawah Perintah Duti Kastam 2022 dan Perintah Duti Eksais 2024.

"Kadar duti import adalah sebanyak lima peratus, cukai jualan sebanyak 10 peratus dan Duti Eksais sebanyak 0.90 sen per liter," katanya.

Norlela berkata, kesemua kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

"Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata, orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!