GMP saran kawasan khas minuman keras di Ipoh

IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) menyarankan agar segala aktiviti berkaitan minuman keras di Bandaraya Ipoh dihadkan di suatu kawasan yang diwartakan jauh dari penempatan masyarakat.
Presidennya, Norali Nordin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dicadang menetapkan hanya kawasan khas itu dibenar sebagai pusat jualan, hiburan dan pelbagai aktiviti lain yang berkaitan dengan minuman keras.
Jelas beliau, kawasan khas itu juga hanya membenarkan kenderaan e-hailing untuk membawa individu yang berhibur atau mengambil minuman keras sama ada pergi atau balik.
"Kita semua boleh membaca mengenai kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, kes keganasan rumahtangga, kes pengabaian tanggungjawab kerana kehilangan motivasi dan pelbagai lagi dapatan yang dengan mudah boleh kita baca di mana-mana.
"Jadi dengan cara ini MBI dapat mengawal keselamatan pengguna, kebersihan setempat, hasil cukai, mengelak pusat hiburan haram, serta dapat menyeimbangkan di antara tuntutan demokrasi dan larangan agama sekaligus mengawal sensitiviti masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang tinggal di bandar raya ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Norali berkata, GMP mengalu-alukan cadangan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam seperti di Gugusan Manjoi, Rapat Setia, Sungai Rokam dan Ulu Chepor.
Menurutnya, pelaksanaan dasar itu juga dilihat wajar untuk diperluaskan lagi merangkumi semua kawasan penempatan masyarakat tidak mengira bangsa.
Jelasnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti MBI wajar mencari keseimbangan di antara soal keselamatan, hak orang awam, hak memilih secara individu, janaan ekonomi dan larangan agama.
"Ya benar, agama Islam melarang pengambilan minuman keras berdasarkan kepada kesan pengambilan bahan ini kepada daya fikir semasa di bawah pengaruhnya. Namun, agama Islam juga memberi kebebasan hak memilih kepada seseorang individu tidak mengira bangsa, agama dan latar belakang ideologi.
"Di dalam hal mengenai minuman keras ia sudah dibuktikan tanpa ragu-ragu bahawa pengambilannya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan," katanya.
Pada 18 Januari lalu, media melaporkan MBI akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi di sini sebelum ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Menurutnya, sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan penjualan minuman keras itu sudah dilaksanakan di kawasan Gugusan Manjoi susulan bantahan besar-besaran oleh penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

