Syarikat konsesi untung setiap tahun, wajar tawar diskaun tol 50 peratus - MP Petaling Jaya

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat konsesi lebuh raya sememangnya membuat keuntungan yang konsisten setiap tahun malah ada yang meraih faedah selama beberapa dekad.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, misalnya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mengutip tol sejak 1988 dan telah beroperasi selama 37 tahun.

Menurutnya, bahkan di bawah perjanjian terbaharu, tempoh konsesinya dilanjutkan sehingga 2058.

"Begitu juga dengan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang telah mengutip tol sejak 2004 dan hanya akan tamat pada 2069.

"Syarikat-syarikat ini masih mempunyai beberapa dekad untuk mengaut keuntungan memandangkan pelanggan mereka adalah pengguna lebuh raya yang sama.

"Jadi, sudah tiba masanya syarikat konsesi lebuh raya ini menunjukkan muhibah dan menjalankan tanggungjawab korporat dengan membenarkan pengguna jalan raya menikmati 50 peratus diskaun tol ketika mereka dalam perjalanan pulang semasa musim perayaan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggesa syarikat konsesi lebuh raya agar menawarkan diskaun 50 peratus kepada pengguna jalan raya semasa musim perayaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

Menurut Chean Chung, Kementerian Pengangkutan komited untuk meningkatkan perkhidmatan kereta api penumpang dengan sasaran 80 peratus penggunaan landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terutamanya meliputi Pantai Barat.

"Saya percaya, pada masa itu, bukan sahaja kesesakan lalu lintas akan berkurangan tetapi orang ramai juga mempunyai lebih banyak pilihan untuk pulang ke rumah dengan kos yang rendah," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!