Kes tipu umrah: Suami isteri ditahan polis Johor bantu siasatan

M Kumar
M Kumar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat umrah kontroversi, disyaki terbabit dalam penipuan pakej umrah, pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, tangkapan terhadap pasangan suami isteri warga tempatan berusia 32 tahun itu dibuat setelah mereka dilepaskan dengan jaminan polis Selangor.

“Setakat ini, sebanyak sembilan laporan polis telah diterima melibatkan kerugian berjumlah RM174,080.

"Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta denda," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, pengarah urusan syarikat berkenaan, Mohd Syahril Alias didakwa gagal menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke tanah suci.

Malah, Mohd Syahril telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menawarkan Surat Aku Janji mengatakan sedia membayar kerugian yang ditanggung jemaah.

Justeru, tangkapan telah dibuat pada pukul 6.45 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil (JSJK) Selangor di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), susulan laporan polis dibuat oleh jemaah umrah yang terkandas.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum menggunakan mana-mana syarikat pengendali umrah bagi memastikan syarikat berkenaan berlesen dan mempunyai rekod pengendalian umrah yang baik.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!