MOTAC kaji wajibkan syarikat pengendali umrah ada jaminan bank RM250,000

Antara mangsa penipuan umrah yang membuat aduan kepada MOTAC.
Antara mangsa penipuan umrah yang membuat aduan kepada MOTAC.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengkaji pelaksanaan undang-undang mewajibkan syarikat pengendali umrah mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, ia antara penambahbaikan syarat lesen perniagaan pengendalian pelancongan ke luar negara bagi umrah atau ziarah.

Menurut kenyataan tersebut, umum mengetahui bahawa jaminan bank bagi syarikat pengendali termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta 482.

Jelasnya lagi, langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara misalnya apabila berlaku penipuan, dana daripada jaminan bank digunakan sebagai pampasan kepada mangsa.

“Diharapkan dasar yang dimuktamadkan kelak dapat dikuatkuasakan secepat mungkin, manakala untuk pengendali berskala besar, jaminan bank akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat. Ia berdasarkan keadaan di mana kes penipuan pengguna semakin serius.

“Sekiranya ada syarikat yang gagal memenuhi keperluan minimum ini, MOTAC tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen serta-merta tanpa kompromi.

“Kami kecewa kerana meskipun tindakan telah diambil, masih ada pengendali yang terus mengabaikan tanggungjawab mereka.

"Hari ini, seramai 135 mangsa mengadu tentang syarikat yang gagal menguruskan perjalanan umrah, ini menunjukkan bahawa isu tersebut tak boleh dibiarkan berlarutan,“ katanya pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa lalu, kecoh di media sosial apabila 379 jemaah terkandas dan gagal diterbangkan ke tanah suci oleh sebuah syarikat pengendali umrah terkenal.

Difahamkan, jumlah kerugian bagi kes penipuan umrah itu dianggarkan mencecah RM2.1 juta.

Terbaharu, pasangan pemilik syarikat umrah berusia 31 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang di Kuala Lumpur pada Rabu.

MOTAC memaklumkan, pihaknya sebelum ini mengadakan sesi libat urus bersama wakil Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).

Tambahnya, kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah umrah.

“Kepercayaan rakyat terhadap industri umrah perlu dipulihkan dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab takkan diberi ruang untuk terus beroperasi.

“Kami meminta semua pengendali umrah untuk mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan.

“Tindakan ini bukan sahaja untuk menjaga kepentingan rakyat, tetapi juga memastikan integriti dan kredibiliti industri umrah di Malaysia kekal diyakini,“ ujar kenyataan itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!