Bakal jemaah umrah terkandas disaran fail tuntutan di tribunal

Armizan (tengah) bersama Timbalan Menteri, Fuziah Salleh semasa sidang media selepas menyampaikan perutusan hala tuju KPDN bagi tahun 2025 pada Isnin.
Armizan (tengah) bersama Timbalan Menteri, Fuziah Salleh semasa sidang media selepas menyampaikan perutusan hala tuju KPDN bagi tahun 2025 pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bakal jemaah umrah yang terkandas gara-gara syarikat pengendali umrah gagal menerbangkan mereka baru-baru ini disarankan tampil memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, TTPM menjadi platform kepada pengguna untuk memperjuangkan hak mereka.

"Kita mengalu-alukan mereka yang terlibat untuk tampil ke TTPM bagi menangani sebarang bentuk penipuan," katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan hala tuju kementerian bagi tahun 2025, di sini pada Isnin.

Minggu lalu, negara dikejutkan dengan 379 bakal jemaah umrah yang sepatutnya terbang bermula Selasa namun ditunda oleh syarikat berkenaan di saat akhir.

Pemilik syarikat berkenaan dan isterinya, ditahan reman selama tiga hari berikutan dakwaan penipuan.

Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd sebelumnya membuat permohonan maaf secara terbuka dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah.

Difahamkan setakat ini hanya 20 individu yang menerima pemulangan wang.

Ujar Armizan, segala bentuk penipuan perlu ditangani.

"Orang kumpul duit untuk pergi umrah tetapi akhirnya hasrat baik mereka terencat disebabkan oleh perkara tertentu yang melibatkan pengurusan syarikat umrah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!