Kebajikan jemaah umrah terjaga jika pengendali ada jaminan bank

SHAH ALAM - Langkah mewajibkan syarikat pengendali umrah tempatan menyediakan jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000 mampu memastikan kebajikan jemaah terjamin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UGO Travel & Tours Sdn Bhd (UGO Travel), Mohamad Minhat berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut demi kepentingan jemaah.
Menurut beliau, syarikat pengendali umrah juga akan lebih telus dalam pengurusan operasi sekiranya ia dikuatkuasakan.
"Langkah ini mampu meningkatkan kebolehpercayaan orang ramai terhadap syarikat pengendali umrah lain yang betul-betul jujur dalam mengendalikan operasi mereka.
"Jemaah tak perlu bimbang lagi tentang mendapatkan kembali wang mereka sekiranya syarikat pengendali umrah gagal menunaikan janji untuk menerbangkan pelanggan ke tanah suci,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dilaporkan sedang mengkaji pelaksanaan undang-undang mewajibkan syarikat pengendali umrah mempunyai jaminan bank.
MOTAC dalam satu kenyataan memaklumkan, ia antara penambahbaikan syarat lesen perniagaan pengendalian pelancongan ke luar negara bagi umrah atau ziarah.
Menurut kenyataan tersebut, umum mengetahui bahawa jaminan bank bagi syarikat pengendali termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta 482.
Jelasnya lagi, langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara misalnya apabila berlaku penipuan, dana daripada jaminan bank digunakan sebagai pampasan kepada mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

