Kes tipu umrah: Pengarah urusan, 6 pekerja disambung reman sehari lagi

Laporan Sinar Harian mengenai lebih 30 jam jemaah umrah terkandas berkampung mahu tuntut semula wang. Gambar kecil: Iman Norhizam
Laporan Sinar Harian mengenai lebih 30 jam jemaah umrah terkandas berkampung mahu tuntut semula wang. Gambar kecil: Iman Norhizam
A
A
A

SEPANG - Tahanan reman ke atas pemilik syarikat pelancongan kontroversi kerana didakwa gagal menerbangkan jemaah ke Tanah Suci disambung sehari lagi.

Peguam yang mewakili pemilik syarikat terbabit, Iman Norhizam berkata, pihak polis meminta sambung reman dilanjutkan selama tiga hari untuk kesemua orang yang disyaki, namun telah dibantah pihaknya.

Sehubungan itu, menurutnya, mahkamah hanya membenarkan tahanan reman sehari lagi dikenakan ke atas pengarah urusan syarikat bersama enam lagi pekerjanya.

Tambah beliau, isteri kepada pengarah urusan tidak disambung tahanan reman.

"Tahanan reman selama tiga hari sebelum ini dikenakan ke atas pengarah urusan syarikat bersama isteri dan enam lagi pekerja tamat pada hari ini (Sabtu).

"Namun permohonan sambung reman ke atas kesemua mereka dibenarkan oleh pihak mahkamah selama satu hari lagi kecuali kepada isteri pengarah urusan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengarah urusan syarikat umrah berusia 31 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang di Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, jumlah kerugian bagi kes tipu umrah melibatkan sebuah syarikat pelancongan kontroversi di Sepang, Selangor itu dianggarkan mencecah RM2.1 juta.

Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak tahun 2022, namun berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang pada Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!