AISSE’25 platform teroka teknologi keselamatan maritim

Mohd Rosli melihat teknologi yang dipamerkan di AISSE’25 di PICC, di sini, pada Isnin.
Mohd Rosli melihat teknologi yang dipamerkan di AISSE’25 di PICC, di sini, pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memanfaatkan Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) sebagai platform untuk meneroka dan memahami teknologi keselamatan maritim terkini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, langkah itu selaras dengan usaha agensi dalam memperkukuhkan keupayaan pengawasan dan keselamatan perairan negara sebagaimana Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.

"Penyertaan ini juga seiring dengan Teras Tujuh yang diperkenalkan beliau iaitu ‘Penggunaan Teknologi’ dalam menjaga keselamatan perairan negara dengan lebih efektif," katanya.

Mohd Rosli berkata demikian selepas hadir di Majlis Perasmian AISSE’25 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Isnin.

Turut hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman.

Mohd Rosli berkata, AISSE’25 adalah peluang terbaik untuk Maritim Malaysia mengakses teknologi keselamatan terkini, sekali gus meningkatkan keupayaan Agensi dalam memantau dan melindungi perairan negara.

Maritim Malaysia turut menyertai AISSE’25 di PICC.
Maritim Malaysia turut menyertai AISSE’25 di PICC.

“Saya berharap AISSE’25 akan membentuk rangkaian strategik Maritim Malaysia yang lebih kukuh di peringkat antarabangsa dalam memerangi ancaman jenayah rentas sempadan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rosli turut menyahut hasrat Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya untuk melihat Malaysia terus berada dalam kelompok 10 negara paling aman di dunia.

"Maritim Malaysia akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan bekerjasama dengan agensi sahabat dalam memerangi aktiviti salah laku dan ancaman jenayah maritim di seluruh negara," katanya.

Selain persidangan, Maritim Malaysia turut menyertai pameran di reruai KDN dengan menampilkan aset milik Agensi seperti jetski dan Mobile Surveillance Unit (MSU).

Selain itu, pengunjung pameran turut berpeluang merasai simulasi operasi penguatkuasaan maritim melalui aktiviti Virtual Reality (VR) yang menarik.

AISSE’25 yang berlangsung pada Isnin hingga Rabu di PICC menghimpunkan lebih 100 organisasi keselamatan.

Ia juga akan dihadiri lebih 1,000 delegasi persidangan serta 50 delegasi orang kenamaan dari lebih 20 negara.

Acara ini menjadi landasan penting untuk membincangkan isu-isu seperti keganasan, ekstremisme, penyeludupan, dan ancaman keselamatan siber.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!