Dua nelayan hilang ditemukan selamat di Dumai, Indonesia - Maritim Malaysia

Abdul Razak (kanan) ketika membuat panggilan video dengan Rosenizam ketika berkunjung ke rumah mangsa pada malam Selasa.
Abdul Razak (kanan) ketika membuat panggilan video dengan Rosenizam ketika berkunjung ke rumah mangsa pada malam Selasa.
A
A
A

MELAKA - Dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar memukat di perairan Pulau Undan pada Rabu lalu, ditemukan selamat di Dumai, Indonesia.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, mangsa, Muarep Sakem, 63, yang merupakan tekong bot bersama rakannya Rosenizam Maharam, 55, berjaya diselamatkan oleh nelayan Indonesia selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk dan kerosakan enjin.

"Kami bersyukur kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan serius.

"Mereka kini berada di Dumai dan pihak kami sedang bekerjasama dengan Konsulat Malaysia di sana bagi menguruskan proses penghantaran mereka pulang ke Malaysia," katanya.

Tambahnya, turut mengingatkan kepada nelayan dan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan perubahan cuaca yang tidak menentu dan memastikan bot berada dalam keadaan baik serta dilengkapi peralatan keselamatan sebelum keluar ke laut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang dihubungi berkata, beliau yang telah memaklumkan perkara itu kepada keluarga mangsa juga berkesempatan menghubungi nelayan itu yang kini berada di Indonesia.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sedang berurusan dengan pihak berkuasa negara Indonesia untuk membantu membawa pulang kedua-dua nelayan itu dalam masa terdekat ini.

"Malam tadi juga (malam Rabu) saya sempat membuat panggilan video kepada nelayan itu dan keadaan dan kesihatan mereka baik cuma kelihatan agak lemah.

Artikel Berkaitan:

"Bila akan dibawa pulang saya tak pasti berapa lama tempohnya, tapi kita sedang usahakan dan berurusan dengan kerajaan Indonesia untuk membawa mereka pulang," katanya.

Terdahulu Sinar Harian pada Rabu melaporkan anak kepada salah seorang nelayan yang dilaporkan hilang terharu apabila mendapat perkhabaran gembira itu.

Susanti Muarep, 40, berkata, dia mengetahui mengenai berita gembira itu selepas dihubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman kira-kira jam 10.30 malam pada Selasa.

Menurutnya, bersyukur bapanya yang telah lebih 40 tahun menjadi nelayan selamat ditemui oleh pihak berkuasa negara jiran, Indonesia selepas dipercayai mengalami kerosakan enjin bot ketika memukat ikan di kawasan Pulau Undan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!