Maritim Malaysia tahan bot penumpang, langgar syarat lesen

MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot penumpang kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan Melaka di sini pada petang Isnin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, bot itu ditahan semasa rondaan rutin yang dijalankan anggota penguat kuasa di kedudukan 1.3 batu nautika barat daya Tanjung Kling, kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, bot itu dikendalikan seorang jurumudi berusia 34 yang sedang membawa beberapa orang pemancing.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit melanggar syarat lesen apabila jenis enjinnya tidak sepadan dengan yang dinyatakan dalam lesen bot.
"Individu itu kemudian ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Tambah beliau, pengusaha bot penumpang diingatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memastikan lesen dan dokumen berkaitan adalah sah serta sesuai dengan keadaan sebenar bot.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini bagi memastikan keselamatan penumpang dan pematuhan undang-undang di perairan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!