Gantung lesen syarikat pengendali umrah diserah kepada MOTAC

KUALA LUMPUR - Keputusan membabitkan pembatalan dan penggantungan lesen syarikat atau agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kementerian itu memiliki kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat tidak amanah dalam mengendalikan perkhidmatan yang ditawarkan.
Beliau menegaskan, orang ramai terutama beragama Islam yang menyimpan hasrat menunaikan ibadah umrah perlu membuat semakan dan memastikan syarikat atau agensi mempunyai lesen di bawah MOTAC.
“Seperti yang kita sedia maklum, orang Islam memang gembira menunaikan umrah. Jadi berhati-hatilah. Semak dahulu agensi tersebut berdaftar atau tidak.
“Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga tidak masuk akal yang diiklankan apatah lagi menggunakan selebriti sebagai tujuan promosi,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) kali ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, MOTAC bersedia membantu jemaah umrah yang terkandas selepas sebuah syarikat pengendali umrah menunda penerbangan ke Tanah Suci Makkah.
Dilaporkan, lebih 300 bakal jemaah umrah terkandas selepas sebuah syarikat menunda tarikh penerbangan kepada suatu tarikh yang tidak dipastikan.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut memberi amaran kepada syarikat atau agensi pelancongan supaya tidak bersikap zalim dan menyalahgunakan wang pelanggan untuk kepentingan diri.
“Sesungguhnya ALLAH SWT menyuruh kamu untuk amanah. Jangan pernah terlintas dan berniat untuk mengambil wang mereka yang ingin menunaikan ibadah umrah demi kepentingan diri sendiri.
“Kalau tidak amanah dan khianat wang mereka yang telah memberikan kepercayaan ini, kita akan rugi malah lebih teruk lagi mendapat balasan di dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau turut berharap mana-mana syarikat pengendali umrah dan pelancongan yang tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas supaya menjadi pengajaran kepada pengusaha perkhidmatan sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!