Isu ketidakaturan kewangan UKM: SPRM mula siasatan minggu hadapan

SPRM akan memulakan siasatan awal berkaitan ketidakaturan pengurusan kewangan serta isu tatakelola melibatkan UKM .Gambar hiasan.
SPRM akan memulakan siasatan awal berkaitan ketidakaturan pengurusan kewangan serta isu tatakelola melibatkan UKM .Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan awal berkaitan ketidakaturan pengurusan kewangan serta isu tatakelola melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

SPRM dalam kenyataan berkata, siasatan awal ini akan bermula minggu hadapan.

Menurutnya, ini bagi meneliti sama ada terdapat kelemahan tata kelola atau unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa SPRM.

"SPRM mengambil maklum dapatan yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 berkaitan isu ini.

"SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berlandaskan undang-undang tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah SPRM, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau undang-undang lain yang berkaitan.

"Suruhanjaya komited memastikan setiap dana awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta menjaga kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi negara," ujarnya.

Menurut LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Februari lepas, UKM dikesan berdepan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di universiti itu yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan.

Berdasarkan laporan itu, kutipan hasil dibuat oleh pihak tidak diberi kuasa iaitu Koperasi B-5-1788 bagi yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta, merangkumi Sarjana Pendidikan (SPEND) RM3.53 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) RM47.21 juta.

Artikel Berkaitan:

Perjanjian kerjasama tidak sah bagi SPEND dan DPLI kerana tidak mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan sebagaimana ditetapkan dalam Perlembagaan UKM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!