Pertimbang cadangan lesen khusus pengendali umrah, haji

SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan lesen khusus kepada syarikat-syarikat pengendali umrah dan haji untuk mendapatkan kebenaran menawarkan pakej ibadah berkenaan kepada orang ramai wajar dipertimbangkan kerajaan secara serius.
Peguam, Muhammad Izhar Mohd Salehuddin berkata, langkah mengasingkan lesen pengendalian ibadah berkenaan dengan lesen pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) amat penting bagi memastikan isu jemaah terkandas disebabkan kegagalan syarikat memenuhi janji mereka tidak berulang.
Jelasnya, pelaksanaan lesen khusus bagi pengendali haji dan umrah perlu mendapat kerjasama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Agama) dalam menjamin syarat kelulusan syarikat-syarikat terlibat diperinci dan diperketatkan.
“Dalam tempoh ini, pengguna turut berperanan dengan membuat semakan terperinci tentang status syarikat serta rekod mereka dalam mengendalikan urusan umrah dan haji.
“Terma-terma dalam borang serta bayaran dibuat juga perlu diteliti sebaiknya, bagi menjaga hak-hak pengguna terutamanya setelah bayaran dibuat.

“Pada masa sama, MOTAC dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Agama) boleh mengemas kini senarai syarikat yang berlesen secara kerap untuk makluman kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, dari sudut kepentingan jemaah yang terkesan dengan tindakan syarikat berkenaan, Muhammad Izhar menegaskan, mereka berhak untuk melaksanakan tindakan perundangan di mahkamah dengan menuntut jumlah kos dikeluarkan oleh mereka termasuk ganti rugi khas, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.
Katanya, ini kerana mangsa mengalami kerugian dari aspek wang ringgit serta kesan psikologi akibat kekecewaan gagal melaksanakan ibadah umrah.
“Sekiranya ada tawaran penyelesaian daripada pihak syarikat, mangsa berhak untuk memohon untuk rekod penyelesaian dibuat secara bertulis dan sekiranya bersetuju, satu perjanjian penyelesaian boleh ditandatangani kedua-dua pihak berdasarkan terma-terma penyelesaian yang dipersetujui.

“Keingkaran pada penyelesaian tersebut oleh pihak syarikat turut memberikan ruang kepada pelanggan terkesan bagi memfailkan tuntutan ke mahkamah sama ada menuntut jumlah baki yang tertunggak atau mana-mana jumlah yang belum diselesaikan oleh pihak syarikat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Mohd Radzlan Jalal menegaskan, siasatan polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dijalankan ke atas pemilik syarikat kerana disyaki telah menipu bakal jemaah umrah.
Menurutnya, setiap bakal jemaah umrah yang menjadi mangsa boleh mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna secara berasingan atau menyaman ke Mahkamah Sivil secara berkumpulan.
“Langkah itu penting bagi membolehkan mereka menuntut dipulangkan bukan sekadar jumlah bayaran pakej bahkan tambahan tuntutan lain seperti ganti rugi khas, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk,” jelasnya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan di bawah MOTAC dan agensi lain bertanggungjawab perlu memperketatkan penyeliaan dan penguatkuasaan secara berkala dan lebih agresif ke atas syarikat-syarikat menawarkan pakej umrah dan haji kepada rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

