Kematian Syamsul Haris: Ibu persoal kenapa pertuduhan 302 ditukar 304

Ibu kepada pelatih Palapes, Syamsul Haris Shamsudin yang maut mempersoalkan perubahan pertuduhan daripada Seksyen 302 kepada Seksyen 304.
Ibu kepada pelatih Palapes, Syamsul Haris Shamsudin yang maut mempersoalkan perubahan pertuduhan daripada Seksyen 302 kepada Seksyen 304.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin yang maut mempersoalkan perubahan pertuduhan daripada Seksyen 302 kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan terhadap tiga jurulatih yang didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 46, berkata, dia tidak berpuas hati apabila pertuduhan yang pada awalnya dikaitkan dengan Seksyen 302 (bunuh) bertukar kepada Seksyen 304 (menyebabkan kematian tanpa niat membunuh).

"Saya bersyukur kerana tiga orang telah dituduh, tetapi tetap tidak berpuas hati dengan perubahan pertuduhan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pada 2 Disember 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan mengenai kes itu yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kenapa tiba-tiba hari ini pertuduhan di bawah Seksyen 304 pula? Apa sebabnya ditukar? Kami mahu penjelasan," ujar beliau.

Ummu Haiman memberitahu, keluarga berhak mengetahui alasan di sebalik keputusan itu memandangkan mereka sentiasa mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa hanya tiga individu didakwa sedangkan keluarga percaya lebih ramai yang terlibat dalam insiden berkenaan.

"Kami juga tertanya-tanya kenapa hanya tiga orang sahaja dituduh,” katanya.

Beliau mendakwa, keluarga hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan itu pada jam 11.50 malam Khamis oleh seorang pegawai, sedangkan kenyataan media polis sudah dikeluarkan lebih awal.

Artikel Berkaitan:

"Kami sekeluarga sentiasa meminta perkembangan terkini daripada pegawai penyiasat, namun tidak dimaklumkan lebih awal," tambahnya.

Terdahulu, tiga jurulatih PALAPES dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Jumaat atas tuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian seorang pelatih PALAPES UTM, pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tiga tertuduh, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40; Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30; dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Ibu kepada pelatih PALAPES UTM yang maut mempersoalkan perubahan pertuduhan daripada Seksyen 302 kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan
  • Ibu tersebut tidak berpuas hati dengan perubahan pertuduhan yang disifatkan sebagai menyebabkan kematian tanpa niat membunuh
  • Pertuduhan pada awalnya di bawah Seksyen 302 tetapi bertukar ke Seksyen 304 hingga keluarga meminta penjelasan
  • Keluarga juga mempersoalkan kenapa hanya tiga jurulatih dituduh sedangkan mereka percaya lebih ramai yang terlibat
  • Keluarga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pertuduhan walaupun sudah meminta perkembangan terkini dari pegawai penyiasat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!